Sejauh mana kita mengenali pelajar ?

Sejauh mana kita mengenali anak sendiri?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Laporan bahawa seorang pelajar lelaki berusia 13 tahun terjatuh dari tingkat tiga bangunan sebuah sekolah menengah di Kulim dengan hasil temu bual pihak berkuasa dengan mangsa mendapati dia mengaku terjun sendiri dari bangunan sekolah kerana mengalami tekanan berkaitan akademik cukup membimbangkan kita.

Insiden ini bersama-sama dengan pelbagai kes membabitkan pelajar sekolah sejak kebelakangan ini seperti buli dan membunuh mencetuskan satu persoalan yang cukup besar dan kritikal, iaitu sejauh mana para ibu bapa benar-benar mengenali anak mereka?

Persoalan ini timbul kerana dalam banyak kes yang dilaporkan, hasil maklum balas daripada ibu bapa dan keluarga menunjukkan anak-anak ini tidak menunjukkan sebarang sikap mahu pun perilaku yang ganas, bahaya, terkesan emosi, mahu pun nakal ketika bersama dengan keluarga.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ringkasnya, ibu bapa beranggapan anak-anak mereka ini tidak ada sebarang masalah baik dari segi sikap, kesihatan mental mahupun akademik dan pergaulan sosial di luar rumah.

Ironinya, berapa ramai yang kenali rakan anak-anak? Tahu apa mereka buat ketika berada di luar rumah? Apa masalah yang anak hadapi di sekolah, baik dalam pelajaran mahu pun perhubungan sosial dengan rakan atau guru.

Setiap ibu bapa perlu tanya diri masing-masing semua persoalan ini sebelum laju menuding jari menyalahkan pihak lain.

Hakikatnya, apa yang berlaku adalah apabila anak buat hal di sekolah, guru dan sekolah akan dipersalahkan dulu sebelum siasat apa sebenarnya yang telah berlaku.

Misalnya, dalam soal disiplin anak, kenapa sering kali kita letak tanggungjawab itu kepada guru dan sekolah dan bukan diri kita sebagai ibu dan bapa? Apa yang lebih tragis adalah bila mana guru cuba betulkan disiplin dan sahsiah anak-anak yang nakal, kita marah dan mengancam guru.

Anak yang tidak mampu menyerap dan menangani pelbagai tekanan dan pengaruh ini mudah hilang pertimbangan, lantas bertukar menjadi individu dengan karakter luar jangka seperti menjadi pembuli, pembunuh mahu pun boleh mencederakan diri sendiri.

Oleh itu, para ibu bapa perlu memikul tanggungjawab untuk membetulkan situasi ini sebelum lebih ramai lagi anak menjadi mangsa keadaan, atau lebih tepat lagi mangsa kecuaian dan pengabaian ibu bapa sendiri.

Secara prinsipnya kita mahu ibu bapa benar-benar mengenali anak mereka, tetapi untuk mencapai hasrat tersebut para ibu bapa terlebih dahulu perlu jelas apa yang ibu bapa mahukan daripada anak-anak mereka?

Lazimnya kita mahu anak-anak berjaya dalam akademik, lantas bilangan ‘A’ akan menjadi sasaran pencapaian dan penilaian utama. Tidak salah.-UTUSAN

 

NOOR MOHAMAD
SHAKIL HAMEED
Yang Dipertua PIBG
Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Serdang Selangor.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini