Dapur Siswa MADANI bantu mahasiswa UPMS berjimat

Dapur Siswa MADANI bantu mahasiswa UPMS berjimat

Kemudahan Dapur Siswa MADANI yang disediakan di Kolej Sri Rajang Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) mengurangkan perbelanjaan makanan harian siswa dan siswi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Memasak sendiri menjadi antara cara mahasiswa Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) mengurangkan perbelanjaan makanan harian menerusi kemudahan Dapur Siswa MADANI yang disediakan di Kolej Sri Rajang.

Kemudahan itu memberi peluang kepada mahasiswa, khususnya mereka yang berdepan kekangan kewangan, untuk menyediakan makanan mengikut kemampuan dan cita rasa sendiri tanpa terlalu bergantung kepada pembelian makanan di luar.
Inisiatif berkenaan turut mendapat perhatian kerajaan apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan RM20 juta bagi Program Dapur Siswa MADANI dalam

Belanjawan 2027 yang dibentangkan pada 9 Oktober lalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Peruntukan itu melibatkan peluasan program ke politeknik dan institut pendidikan guru (IPG), termasuk penyediaan peralatan memasak, sumbangan bahan makanan serta Menu Kasih Siswa pada harga RM5.

Pengetua Kolej Sri Rajang, Dr. Tengku Sharifah Marliza Tengku Azmi berkata, Dapur Siswa MADANI merupakan inisiatif Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang memberi tumpuan kepada kebajikan mahasiswa, terutama golongan yang memerlukan.

Menurutnya, kemudahan tersebut bukan sahaja membantu mengurangkan perbelanjaan makanan, malah membolehkan mahasiswa menyediakan hidangan sendiri dalam persekitaran yang lebih teratur, bersih dan selamat.

“Melalui kemudahan ini, mahasiswa berpeluang menyediakan makanan sendiri dengan kos yang lebih rendah, di samping memastikan aspek kebersihan, keselamatan dan kualiti penyediaan makanan lebih terjamin,” katanya.

Beliau berkata, penggunaan dapur diuruskan melalui sistem tempahan slot selama satu jam bagi memastikan setiap mahasiswa mendapat peluang menggunakannya secara bergilir-gilir.

Katanya, sambutan menggalakkan yang diterima menunjukkan kemudahan berkenaan memenuhi keperluan mahasiswa, khususnya dalam membantu mereka menguruskan perbelanjaan makanan harian.

Sementara itu, mahasiswa UPMS, Siti Nur Balqis Mohd Zulhisyam berkata, kemudahan tersebut sedikit sebanyak membantu meringankan beban kewangan pelajar yang perlu mengimbangi perbelanjaan harian dengan keperluan pengajian.

“Inisiatif seperti ini juga dapat membantu mahasiswa menumpukan perhatian kepada pembelajaran tanpa terlalu dibebani oleh masalah kewangan dan keperluan harian,” katanya.

Bagi seorang lagi mahasiswa, Natasha Anak Napin, kemudahan itu bukan sekadar tempat menyediakan makanan, malah memberi peluang kepadanya menikmati masakan sendiri yang mengingatkan suasana di rumah.

“Dengan adanya kemudahan ini, kami dapat memasak dengan lebih mudah dan selesa serta dapat melepaskan sedikit rindu dengan masakan orang rumah,” katanya.

Selain membantu menjimatkan perbelanjaan, penggunaan dapur secara bersama turut membuka ruang kepada mahasiswa untuk berinteraksi dan mengeratkan hubungan sesama rakan kolej.

Pihak kolej berharap kemudahan itu terus dimanfaatkan mahasiswa UPMS, bukan sahaja untuk mengurangkan kos sara hidup, malah menggalakkan amalan berjimat cermat, berdikari dan penyediaan makanan yang lebih sihat.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini