KUALA LUMPUR: Kos tambahan bagi infrastruktur elektrik dan air susulan pembangunan pusat data perlu ditanggung secara adil oleh pihak yang menyebabkan peningkatan permintaan tanpa membebankan pengguna sedia ada secara tidak wajar.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pendekatan itu berasaskan prinsip pengguna membayar atau ‘user-pays’ serta ‘cost causation’ bagi melindungi kepentingan isi rumah, petani dan industri tempatan.
“Kerajaan memperkenalkan mekanisme penetapan harga elektrik yang mengambil kira tahap permintaan serta kos pembekalan sebenar bagi pengguna berskala besar termasuk pusat data dan industri berintensiti tenaga tinggi.
“Melalui pendekatan ini, pengguna yang mempunyai permintaan elektrik tinggi perlu menanggung bahagian kos pembekalan yang lebih mencerminkan keperluan penggunaan masing-masing,” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di laman rasmi Parlimen.
Beliau menjawab soalan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) mengenai jaminan pertumbuhan pusat data tidak menyebabkan kenaikan tarif utiliti domestik serta kos naik taraf infrastruktur yang perlu ditanggung pengendalinya.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, antara langkah dilaksanakan ialah penambahbaikan mekanisme Connected Load Charge (CLC) melalui peningkatan kadar caj berkaitan bagi mengelakkan pengendali mengisytiharkan keperluan beban elektrik melebihi keperluan sebenar.
Katanya, mekanisme berbentuk caj penalti itu memastikan kapasiti elektrik dipohon digunakan secara optimum, sekali gus mengelakkan pembangunan infrastruktur grid berlebihan dan meningkatkan kecekapan perancangan sistem bekalan elektrik.
“Kerajaan turut memperkenalkan kategori Tarif Voltan Tinggi Ultra (UHV) mulai 1 Julai 2025 bagi pengguna berskala besar termasuk pusat data sedia ada dan baharu.
“Kategori itu melibatkan pengguna yang menerima bekalan pada tahap voltan tinggi melebihi 50 kilovolt (kV) hingga 230 kV serta voltan amat tinggi melebihi 230 kV.
“Bagi sektor air, pembangunan pusat data perlu mengambil kira kapasiti bekalan, rizab margin serta keperluan pengguna sedia ada di kawasan terlibat,” katanya.
Menurut Fadillah, pemaju dikehendaki membuat sumbangan modal untuk pembinaan dan penambahbaikan infrastruktur bekalan air oleh operator termasuk kemudahan rawatan serta rangkaian agihan berkaitan.
Katanya, pemaju juga perlu mengemukakan anggaran permintaan air bulanan bagi enam tahun pertama pengoperasian.
“Garis Panduan Bekalan Air Bagi Pembangunan Pusat Data yang diguna pakai mulai 1 September 2025 menetapkan penanda aras kecekapan penggunaan air melalui Water Usage Effectiveness (WUE) dengan nilai anggaran tidak melebihi 2.2 meter padu bagi setiap megawatt-jam.
“Penggunaan sumber alternatif seperti air kitar semula dan sistem tadahan air hujan bagi penyejukan turut digalakkan untuk mengurangkan kebergantungan terhadap air terawat.
“Kadar purata tarif air bagi pusat data ditetapkan pada RM5.30 setiap meter padu, manakala struktur tarif membezakan kategori pengguna domestik dan industri,” katanya.
Fadillah berkata, sebarang pelarasan tarif elektrik dan air dilaksanakan melalui mekanisme kawal selia yang mengambil kira kos sebenar pembekalan, kemampuan rakyat serta kesejahteraan ekonomi negara.
Katanya, bagi sektor air, pelarasan tarif melalui semakan secara holistik oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Kerajaan Persekutuan.
Mengulas kos naik taraf grid elektrik, loji rawatan air dan rangkaian paip, Fadillah berkata, jumlah tanggungan bergantung kepada kapasiti permintaan, lokasi pembangunan, keadaan infrastruktur sedia ada serta skop penambahbaikan diperlukan.
“Bagi sektor elektrik, tanggungan ditentukan berdasarkan keperluan penyambungan, kapasiti bekalan serta mekanisme caj berkuat kuasa.
“Bagi sektor air pula, sumbangan modal pemaju ditentukan berdasarkan keperluan infrastruktur yang dikenal pasti operator, manakala perancangan perbelanjaan modal operator dikemukakan kepada SPAN melalui Pelan Perancangan Perniagaan.
“Oleh itu, jumlah tanggungan kos bagi setiap pengendali pusat data adalah tertakluk kepada penilaian teknikal dan mekanisme pembiayaan yang berkaitan, dan bukannya satu kadar seragam bagi semua pembangunan,” katanya. – UTUSAN











