OTTAWA: Kematian akibat pendedahan kepada asap kebakaran hutan di Kanada meningkat 275 peratus dalam tempoh dua dekad lalu, dengan kira-kira 4,000 kematian direkodkan setiap tahun dalam tempoh empat tahun hingga 2025.
Menurut laporan yang diterbitkan dalam jurnal perubatan antarabangsa, The Lancet, purata kematian tahunan akibat asap kebakaran hutan antara 2003 hingga 2012 ialah 1,050 orang, jauh lebih rendah berbanding anggaran terkini.
Penulis bersama laporan itu, Ian Hamilton dari George Institute for Global Health di Imperial College London, berkata asap kebakaran hutan mungkin bukan punca langsung kematian bagi setiap individu, namun data menunjukkan peningkatan kematian dalam kalangan penduduk ketika kejadian berkenaan.
Risiko kesihatan akibat asap kebakaran hutan juga meningkat ketika cuaca panas, malah aktiviti fizikal seperti berjalan pantas boleh memburukkan lagi risiko tersebut, lapor CBS News.
Keadaan itu amat berbahaya kepada golongan muda yang terus melakukan aktiviti fizikal ketika cuaca panas, kata Pengerusi Global Climate and Health Alliance, Dr Courtney Howard.
“Golongan muda, khususnya atlet, mempunyai daya tahan fizikal yang tinggi sehingga mereka cenderung meneruskan aktiviti walaupun ketika cuaca panas dan mengalami keletihan akibat haba. Malangnya, keadaan itu boleh menyebabkan kematian,” katanya.
Perubahan iklim yang semakin buruk turut menyumbang kepada masalah berkenaan, ketika kejadian kebakaran hutan di Kanada terus meningkat setiap tahun.
Laporan itu mendapati 80 peratus daripada hari panas yang dikaji dikaitkan dengan kesan penggunaan bahan api fosil terhadap iklim.
“Kita perlu sedar keadaan ini akan terus bertambah buruk dari tahun ke tahun melainkan pelepasan gas rumah hijau dikurangkan,” kata Howard.











