JAKARTA: Agensi Mitigasi Bencana Nasional Indonesia (BNPB) memperketat prosedur operasi standard (SOP) bagi operasi pengubahsuaian cuaca susulan laporan orang ramai mengenai ketulan ais kering yang jatuh di kawasan perumahan.
Bongkah ais yang dipercayai digunakan dalam operasi pengubahsuaian cuaca dilaporkan jatuh menimpa rumah penduduk sehingga menembusi bumbung dan merosakkan siling. Kejadian itu tular di media sosial.
“Bagaimana perkara ini boleh berlaku? Saya sedang berbaring dengan selesa apabila tiba-tiba terdengar bunyi letupan seperti bom. Apabila diperiksa, rupa-rupanya benda ini jatuh dari atas hingga siling berlubang,” kata seorang penduduk dalam video tular pada Isnin.
Sambil menunjukkan bongkah ais sebesar separuh genggaman tangan orang dewasa, penduduk itu memasukkannya ke dalam bekas berisi air. Apabila dimasukkan, air itu menggelegak dan mengeluarkan bahan menyerupai asap.
“Ini nampaknya ais kering daripada kerajaan. Saya masukkan ke dalam air. Apakah sebenarnya benda ini? Ada sesiapa tahu?” katanya lagi.
Ketua Stesen Meteorologi Sultan Mahmud Badaruddin II (SMB II) Palembang, Siswanto yang dihubungi mengesahkan beliau sudah mengetahui video kejadian itu. Bagaimanapun, beliau berkata, bahan ais kering yang digunakan untuk pembenihan awan sepatutnya bersaiz kira-kira tiga milimeter.
Ekoran insiden itu, BNPB melakukan penambahbaikan teknikal bagi memastikan keselamatan sepanjang misi pembenihan awan yang dijalankan bagi mengurangkan jerebu tebal akibat kebakaran hutan dan tanah yang masih berlaku di Sumatera dan Kalimantan.
“Prosedur yang diperketatkan itu melibatkan pemasangan penapis khas pada corong penyebar serta menghancurkan ais kering kepada zarah lebih halus supaya ia menyejat sepenuhnya di udara sebelum sampai ke permukaan tanah,” kata Pemangku Ketua Pusat Data, Maklumat dan Komunikasi Bencana BNPB, Berton Panjaitan.
Mengikut prosedur itu, ais kering iaitu karbon dioksida dalam bentuk pepejal yang disejukkan hingga suhu -78.5 darjah Celsius, ditabur dari pesawat pada ketinggian antara 1.5 hingga 2.1 kilometer.
Walaupun penyesuaian teknikal dilakukan, BNPB memaklumkan operasi percubaan itu menunjukkan hasil positif.
Pembenihan awan menggunakan pelet ais kering di Sumatera Selatan berjaya meningkatkan jarak penglihatan untuk penerbangan di Lapangan Terbang Sultan Mahmud Badaruddin II di Palembang.-AGENSI











