Kerian Industrial City tampung pengembangan industri Batu Kawan - Utusan Malaysia

Kerian Industrial City tampung pengembangan industri Batu Kawan

SAARANI Mohamad (tiga dari kanan) melihat model pelan tapak KIC pada majlis pecah tanah di Parit Buntar hari ini. - UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIT BUNTAR: Kerian Industrial City (KIC) bakal menampung pengembangan operasi pelabur di Batu Kawan, Pulau Pinang yang berdepan kekangan tapak, sekali gus memperkukuh kedudukan Kerian dalam rantaian bekalan industri wilayah utara Semenanjung.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, keperluan menyediakan ruang kepada pelabur terbabit menjadi asas pembangunan KIC yang terletak berhampiran kawasan perindustrian Pulau Pinang.

Menurutnya, terdapat pelabur di Batu Kawan yang mahu mengembangkan operasi kilang mereka, namun menghadapi kekangan ruang sehingga mendorong minat untuk beralih ke Perak.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sebab itu kita bangunkan kawasan ini berhampiran Pulau Pinang supaya dekat dengan pelabur yang mahu mengembangkan operasi mereka,” katanya pada sidang akhbar sempena Majlis Pecah Tanah KIC di sini hari ini.

Katanya, pembangunan seluas 287 ekar dengan nilai pembangunan kasar sekitar RM700 juta itu dijangka mewujudkan hampir 12,000 peluang pekerjaan, selain membuka ruang kepada perusahaan tempatan, vendor dan industri sokongan untuk berkembang.

Saarani berkata, kedudukan Kerian berhampiran Batu Kawan dan Kulim Hi-Tech Park di Kedah memberi kelebihan kepada KIC untuk memanfaatkan perkembangan aktiviti pembuatan serta rantaian bekalan di wilayah berkenaan.

“Pulau Pinang dan Kedah perlu dilihat sebagai rakan strategik yang saling melengkapi bagi membolehkan perkongsian pengalaman serta pengetahuan memperkukuh pembangunan industri serantau,” katanya.

Beliau berkata, perancangan KIC bermula lebih awal daripada Kerian Integrated Green Industrial Park (KIGIP), dengan kedua-dua pembangunan itu akan saling melengkapi dalam membentuk ekosistem perindustrian yang lebih kukuh dan meningkatkan daya tarikan Kerian kepada pelabur.

Mengenai peluang pekerjaan, beliau berharap penduduk Perak, khususnya anak Kerian dan Selama dapat mengisi jawatan yang diwujudkan, termasuk dalam bidang kejuruteraan, kimpalan dan pelbagai kemahiran teknikal.

“Harapan kita supaya peluang pekerjaan ini dapat diisi oleh orang tempatan, khususnya penduduk Kerian sendiri. Sebelum ini ramai penduduk Bagan Serai dan Parit Buntar bekerja di Pulau Pinang kerana peluang pekerjaan tidak ada di sini,” katanya.

Bagi menyokong pembangunan KIC dan KIGIP, Saarani berkata, kerajaan negeri turut memberikan perhatian kepada keperluan pembinaan pencawang masuk utama baharu, manakala keperluan bekalan air kedua-dua kawasan industri itu sudah diambil kira dalam perancangan projek pemindahan air dari Sungai Perak ke Bukit Merah.

Beliau turut mahu Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk), pemaju dan agensi berkaitan mengutamakan pelaksanaan projek yang cekap supaya pembangunan KIC dapat membuka pekerjaan berkualiti, meningkatkan pendapatan penduduk serta merancakkan ekonomi masyarakat setempat. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini