43 pekerja kilang termasuk tiga warga tempatan didakwa guna salinan, IC palsu - Utusan Malaysia

43 pekerja kilang termasuk tiga warga tempatan didakwa guna salinan, IC palsu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seramai 43 pekerja kilang warga asing termasuk tiga rakyat tempatan didenda antara RM1,000 hingga RM9,000 di Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas pertuduhan menggunakan kad pengenalan palsu (IC) serta salinan IC milik individu lain, kelmarin.

Kesemua mereka berusia antara 18 hingga 49 tahun itu mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret, Nurzihan Abdul Rehman, A. Shaarmini dan Atifah Hazimah Wahab.

Mahkamah turut memerintahkan kesemua tertuduh yang terdiri daripada 30 wanita dan 13 lelaki dikenakan hukuman penjara antara satu hingga enam bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Mengikut pertuduhan, seramai 35 daripada tertuduh didakwa menggunakan salinan kad pengenalan milik orang lain sebagai dokumen pengenalan diri manakala lapan lagi tertuduh didakwa menggunakan kad pengenalan palsu.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di dua buah kilang berasingan di Kawasan Perindustrian Pasir Gudang dan Kawasan Perindustrian MIEL di Pasir Gudang di sini, kira-kira 10 pagi dan 8 malam kelmarin.

Kesemua tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Peraturan 25(1)(e), Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) yang membawa hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pendakwa Raya Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Mohd. Ramzi Adnan; Md. Shahedan Md. Taib dan Noorleelawathi Man manakala 10 tertuduh diwakili peguam antaranya Rashidah Baharom, Muhd. Akmal Mazlan, Heng Wang Qianwei dan Jackson Danial.

Terdahulu media melaporkan JPN mengesan kegiatan penyalahgunaan dokumen pengenalan diri milik orang lain bagi tujuan mendapatkan pekerjaan dalam kalangan pekerja asing hasil Ops Jejak 1.0 dan Ops Jejak 2.0 di kilang berkenaan kelmarin.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini