PUTRAJAYA: Sebanyak 750 kekosongan jawatan tetap di Sabah dan Sarawak dibuka bagi memenuhi keperluan penempatan perkhidmatan kesihatan di kedua-dua negeri itu.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya melaksanakan urusan pelantikan khas secara tetap bagi pengambilan fasa pertama berkenaan.
Menurutnya, inisiatif strategik ini merupakan sebahagian daripada komitmen pelantikan tetap Kerajaan Madani membabitkan lebih 9,000 Pegawai Perubatan seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri dalam Belanjawan 2027 baru-baru ini.
“Langkah proaktif ini juga dirangka bagi merapatkan jurang pengisian perjawatan serta memastikan pengekalan sumber tenaga perubatan di Sabah dan Sarawak berada pada tahap optimum.
“Permohonan ini terbuka kepada semua Pegawai Perubatan lantikan kontrak yang telah menjalani latihan siswazah bermula Siri 1/2016 (5 Disember 2016) sehingga Siri 6/2024 (14 Oktober 2024), termasuk pegawai yang telah tamat kontrak perkhidmatan di KKM,” katanya hari ini.
Bagi melayakkan diri, kata KKM, calon mestilah telah menamatkan latihan siswazah dengan jayanya serta berdaftar penuh dengan Majlis Perubatan Malaysia (MMC) selewat-lewatnya pada tarikh tutup iklan permohonan.
Katanya, iklan pengambilan khas ini akan dibuka kepada permohonan selama tujuh hari, iaitu bermula dari 9 hingga 15 November 2026.
“Bagi pegawai yang berjaya dalam urusan pelantikan tetap ini, tarikh lapor diri dicadangkan pada 15 Februari 2027.
“Sehubungan itu, KKM menyarankan semua Pegawai Perubatan yang berkelayakan dan berminat serta bersedia, untuk mengemukakan permohonan melalui sistem SPA9 oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) apabila iklan mula dibuka kelak,” katanya.
Katanya, kanya permohonan rasmi yang dikemukakan menerusi portal sistem SPA9 dalam tempoh iklan dibuka akan dipertimbangkan untuk urusan pelantikan ini. – UTUSAN











