Mengambil sijil cuti sakit (MC) kerana senggugut bukan keputusan mudah bagi sesetengah wanita, terutama apabila mereka terpaksa berdepan tanggapan rakan sekerja yang menganggap kesakitan haid sebagai perkara biasa.
Menurut Nur Iris Zakaria, 25, kesakitan yang dialami bukan sahaja perlu ditanggung secara fizikal, malah disusuli rasa serba salah apabila ketidakhadiran di tempat kerja dipersoalkan.
Katanya, ada yang menganggap dia tidak tahan sakit, manja atau sengaja mengambil kesempatan untuk berehat, sedangkan senggugut yang dialami mungkin cukup teruk sehingga mengganggu tumpuan dan keupayaan menjalankan tugas.
Persepsi sedemikian menimbulkan persoalan sama ada wanita yang mengambil cuti sakit akibat senggugut benar-benar tidak mampu bekerja atau sekadar dianggap tidak cukup kuat menahan kesakitan.
Hakikatnya, haid merupakan proses fisiologi normal, tetapi tahap kesakitan yang dialami setiap wanita berbeza dan tidak semuanya mampu meneruskan rutin harian seperti biasa.
Kesakitan bukan perkara remeh
Pakar Obstetrik dan Ginekologi (O&G), Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Nur Rowaidah Roslan berkata, tanggapan semua kesakitan haid merupakan perkara normal perlu diperbetulkan.

Menurutnya, haid sememangnya proses fisiologi normal bagi wanita, tetapi kesakitan yang terlalu teruk sehingga mengganggu kehidupan harian tidak sepatutnya dianggap sebagai sesuatu yang biasa.
Katanya, senggugut boleh berlaku akibat peningkatan penghasilan prostaglandin yang menyebabkan pengecutan rahim, manakala kesakitan yang teruk juga boleh menjadi petanda masalah ginekologi tertentu.
Antaranya termasuk endometriosis, iaitu keadaan apabila tisu yang menyerupai lapisan dalam rahim tumbuh di luar rahim, termasuk pada ovari dan kawasan pelvis.
Keadaan itu boleh menyebabkan keradangan kronik dan kesakitan yang ketara, khususnya ketika haid, sekali gus menjejaskan kehidupan harian sesetengah pesakit.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), endometriosis menjejaskan kira-kira satu daripada 10 wanita dalam usia reproduktif di seluruh dunia.
Tidak semua wanita alami kesakitan sama
Dr. Rowaidah berkata, ramai wanita menganggap kesakitan yang dialami sebagai senggugut biasa sehingga bertahun-tahun sebelum mendapatkan pemeriksaan.
Keadaan itu membimbangkan kerana kesakitan berulang yang tidak dikenal pasti puncanya boleh menyebabkan wanita terus menanggung penderitaan tanpa mendapatkan bantuan perubatan yang sesuai.
Menurutnya, perbezaan antara senggugut biasa dengan kesakitan yang memerlukan perhatian perubatan boleh dinilai berdasarkan tahap kesakitan, gejala yang mengiringinya dan kesannya terhadap fungsi harian.
“Senggugut lazimnya berlaku pada awal haid dan boleh dikawal dengan rawatan yang sesuai, manakala kesakitan yang lebih serius boleh menyebabkan wanita sukar berdiri, berjalan, duduk terlalu lama atau memberikan tumpuan.
“Sesetengah pesakit endometriosis turut mengalami kesakitan ketika membuang air besar, sakit ketika membuang air kecil, sakit ketika melakukan hubungan seksual atau sakit pelvis walaupun di luar waktu haid.
“Bagaimanapun, tahap kesakitan yang dialami seseorang wanita tidak semestinya menggambarkan tahap keterukan endometriosis,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Dr. Nur Rowaidah menjelaskan, terdapat wanita yang mengalami endometriosis meluas tetapi hanya mempunyai gejala ringan, manakala sesetengah pesakit dengan penyakit yang kurang meluas mengalami kesakitan sangat teruk.
Beliau berkata, perbezaan tahap kesakitan antara wanita turut dipengaruhi tindak balas tubuh, penghasilan prostaglandin, perubahan hormon, sensitiviti sistem saraf serta kewujudan penyakit seperti endometriosis atau adenomyosis.
“Jika seorang wanita boleh bekerja seperti biasa ketika haid, itu tidak bermakna wanita lain yang memerlukan MC adalah lemah atau kurang tahan sakit. Perbezaan ini mempunyai penjelasan perubatan dan perlu dihormati,” katanya.
MC berdasarkan penilaian doktor
Mengulas keperluan mengambil cuti sakit, Dr. Rowaidah berkata, senggugut teruk sehingga menjejaskan kemampuan seseorang untuk bekerja merupakan keadaan yang boleh dipertimbangkan bagi pemberian MC, tertakluk kepada penilaian doktor.
Menurutnya, doktor akan menilai sejarah kesakitan, gejala berkaitan, kesan terhadap aktiviti harian, tindak balas terhadap rawatan dan jenis pekerjaan pesakit sebelum menentukan keperluan cuti sakit.
Penilaian itu penting kerana keupayaan seseorang untuk menjalankan tugas dengan selamat dan berkesan boleh terjejas apabila kesakitan menjadi terlalu kuat.
Bagi wanita yang mengalami senggugut berulang, doktor turut menilai kemungkinan penyakit seperti endometriosis, khususnya jika kesakitan semakin teruk atau tidak berkurangan walaupun selepas mengambil ubat yang sesuai.
Wanita yang mengalami senggugut sejak remaja, kerap mengambil MC atau mengalami kesakitan yang semakin teruk setiap tahun disarankan menjalani pemeriksaan lanjut.
Pemeriksaan ultrabunyi pelvis mungkin dilakukan bagi mengenal pasti keadaan seperti sista endometriosis pada ovari atau endometriosis yang melibatkan tisu lebih dalam.
Stigma boleh jejaskan kesihatan
Mengulas stigma terhadap wanita yang mengambil cuti sakit ketika haid, Dr. Rowaidah berkata, kesakitan yang tidak dapat dilihat dari luar tidak bermakna kesakitan itu tidak wujud.
Menurutnya, endometriosis merupakan contoh penyakit kronik yang sering tidak kelihatan secara luaran walaupun pesakit mungkin mengalami kesakitan pelvis yang sangat kuat.
Ada pesakit yang terpaksa mengambil ubat tahan sakit setiap bulan, mengalami gangguan tidur atau tidak mampu menjalankan tugas ketika haid.
Lebih membimbangkan, sebahagian daripada mereka berdepan tanggapan negatif apabila dilabel sebagai manja, tidak tahan sakit atau sengaja mencari alasan untuk tidak bekerja.
Stigma sedemikian boleh menyebabkan wanita takut berkongsi masalah kesihatan, malah ada yang menangguhkan pemeriksaan kerana percaya senggugut teruk merupakan keadaan yang perlu ditanggung.
Dr. Rowaidah berkata, endometriosis bukan sekadar masalah sakit haid kerana penyakit keradangan kronik itu boleh menjejaskan kualiti hidup, hubungan sosial, kesihatan mental, pekerjaan dan kesuburan sesetengah wanita.
Beliau turut mengingatkan bahawa senggugut yang teruk, semakin bertambah atau tidak memberikan respons kepada rawatan biasa boleh menjadi petanda masalah ginekologi seperti endometriosis, adenomyosis atau fibroid rahim.
Antara tanda amaran yang perlu diberikan perhatian termasuk kesakitan sehingga kerap tidak hadir bekerja atau belajar, sakit ketika membuang air besar semasa haid, sakit ketika hubungan seksual dan masalah kesuburan.
Endometriosis boleh dikaitkan dengan kesukaran untuk hamil, walaupun tidak semua wanita yang menghidap penyakit itu mengalami masalah kesuburan.
Kefahaman di tempat kerja perlu dipertingkat
Dr. Rowaidah berkata, memaksa diri bekerja ketika mengalami kesakitan teruk boleh menjejaskan tumpuan, prestasi dan keselamatan, terutama bagi pekerjaan yang memerlukan ketahanan fizikal atau perhatian tinggi.
Katanya, keadaan pekerja yang hadir bekerja tetapi tidak dapat berfungsi pada tahap optimum akibat masalah kesihatan dikenali sebagai presenteeisme.
Kesakitan berulang juga boleh menyebabkan gangguan tidur, keletihan, tekanan emosi dan penurunan kualiti hidup.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan meneruskan pekerjaan ketika mengalami senggugut tidak semestinya menyebabkan endometriosis bertambah teruk secara langsung.
Sebaliknya, kesakitan berpanjangan yang tidak dikawal dengan baik serta kelewatan mendapatkan pemeriksaan dan rawatan boleh menjejaskan kesejahteraan fizikal dan emosi serta keupayaan wanita menjalankan aktiviti harian secara optimum.
Justeru, beliau menasihatkan wanita yang mengalami senggugut teruk sehingga menjejaskan aktiviti harian, kualiti tidur atau keupayaan bekerja supaya mendapatkan pemeriksaan perubatan bagi mengenal pasti punca kesakitan.
Pada masa sama, majikan dan rakan sekerja perlu memahami bahawa senggugut teruk merupakan masalah kesihatan yang boleh menjejaskan keupayaan seseorang wanita untuk bekerja.
Katanya, cuti sakit yang diberikan berdasarkan penilaian doktor sewajarnya dihormati, di samping mempertimbangkan fleksibiliti dan sokongan di tempat kerja apabila diperlukan.
“Kita perlu berhenti mengukur tahap kesakitan seseorang berdasarkan pengalaman diri sendiri. Apa yang ringan bagi seorang wanita mungkin sangat menyakitkan bagi wanita lain.
“Senggugut bukan pertandingan siapa paling kuat menahan sakit. Kesihatan wanita perlu difahami, bukan dipertikaikan,” katanya.
Beliau berkata, kesihatan wanita dan komitmen terhadap kerjaya tidak seharusnya dilihat sebagai dua perkara yang saling bertentangan, sebaliknya perlu diseimbangkan melalui kefahaman, sokongan dan akses kepada penjagaan kesihatan berkualiti.











