Kerajaan jamin perlindungan data strategik negara

Kerajaan jamin perlindungan data strategik negara

FAHMI FADZIL- JABATAN PENERANGAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi penekanan terhadap perlindungan data strategik dan maklumat sensitif supaya kekal di bawah kawalan Malaysia dari aspek perundangan, operasi dan teknikal.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, antara mekanisme yang ditetapkan ialah pematuhan keperluan residensi data, kawalan pemindahan data rentas sempadan, sekatan akses kepada penyedia perkhidmatan serta pengurusan kunci penyulitan oleh kerajaan di dalam negara.

“Penggunaan data rakyat dan sektor awam untuk melatih model kecerdasan buatan tanpa kebenaran bertulis kerajaan turut dilarang.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Namun, pembangunan infrastruktur Awan AI Berdaulat Negara masih melalui proses penilaian dan perolehan, justeru spesifikasi akhir serta penyedia perkhidmatan yang akan dipilih belum dimuktamadkan,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 peringkat dasar di Dewan Rakyat hari ini.

Selain itu katanya, Sistem Amaran Awal (EWS) menggunakan teknologi Cell Broadcast System (CBS) dijadualkan beroperasi sepenuhnya pada penghujung November ini.

Katanya, ia bagi membolehkan mesej amaran bencana disampaikan dengan pantas kepada pengguna telefon bimbit di kawasan terjejas.

Jelas Fahmi lagi, pelaksanaan sistem itu akan disusuli ujian amaran peringkat nasional pada awal Disember ini.

“Pelaksanaan sistem ini diharap dapat memperkukuh penyampaian amaran bencana secara lebih pantas dan bersasar, meningkatkan kesiapsiagaan rakyat menghadapi situasi kecemasan,” katanya.

Katanya lagi, tiada peruntukan tambahan diperlukan menerusi Belanjawan 2027 daripada tahun lepas sebanyak RM210 juta kerana dana sedia ada masih mencukupi.

Sistem CBS membolehkan mesej amaran disampaikan kepada peranti mudah alih yang serasi di kawasan terjejas dan akan melengkapi sistem amaran sedia ada melalui khidmat pesanan ringkas (SMS).

Dalam pada itu, Fahmi turut menjelaskan peruntukan RM1 bilion bagi inisiatif Pemacu Ekosistem dan Ketersambungan Kesihatan Digital Negara (PERSADA) yang diumumkan pada 30 Ogos lalu dan dalam Belanjawan 2027 adalah peruntukan yang sama.

Namun katanya, pelaksanaan fizikal projek itu belum bermula dan tiada perbelanjaan atau pengeluaran dana direkodkan setakat ini.

PERSADA bukan hanya melibatkan pelaksanaan Rekod Perubatan Elektronik (EMR), malah merangkumi usaha memperkukuh ketersambungan dan pendigitalan fasiliti kesihatan awam melalui kerjasama Kementerian Komunikasi dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Inisiatif itu melibatkan 150 hospital awam, 2,488 klinik kesihatan awam dan 1,099 Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI), dengan matlamat memudahkan perkongsian maklumat kesihatan antara fasiliti serta meningkatkan kecekapan perkhidmatan kepada rakyat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini