Rakyat Indonesia bantah dasar pentadbiran Prabowo

Rakyat Indonesia bantah dasar pentadbiran Prabowo

PENUNJUK perasaan memegang plakad ketika protes menentang kesukaran ekonomi, rasuah dan cara kerajaan menangani kebakaran hutan di Jakarta kelmarin.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Kemarahan rakyat Indonesia terhadap kerajaan pimpinan Presiden Prabowo Subianto semakin meningkat susulan isu kebakaran hutan, tekanan ekonomi dan pelaksanaan dasar yang mencetuskan kontroversi.

Terbaharu, ratusan penunjuk perasaan berhimpun di Jakarta pada Rabu bagi mendesak kerajaan mengisytiharkan kebakaran hutan dan tanah yang melanda negara itu sebagai bencana nasional, sekali gus menjadi demonstrasi kedua dalam tempoh seminggu.

Kebakaran yang memusnahkan hampir dua juta hektar kawasan itu merupakan yang terburuk di Indonesia dalam tempoh sedekad, selain menyebabkan jerebu tebal menyelubungi rantau berkenaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Seorang penyelidik universiti, Nurul Amalia, 33, yang menyertai demonstrasi itu berkata, usaha kerajaan memadamkan kebakaran masih belum menunjukkan kemajuan ketara meskipun jumlah anggota yang dikerahkan terus bertambah.

Penduduk di Kalimantan turut melaporkan keadaan udara berbahaya, manakala empat sukarelawan dilaporkan maut ketika memadamkan kebakaran pada bulan ini.

Bagaimanapun, ketidakpuasan hati rakyat bukan hanya tertumpu pada isu kebakaran, malah turut melibatkan pelaksanaan dasar kerajaan, tekanan ekonomi dan kebimbangan terhadap pemusatan kuasa di bawah pentadbiran Prabowo.

Program makanan percuma bernilai berbilion dolar yang diperkenalkan bagi menangani masalah kekurangan zat makanan antara dasar yang berdepan kritikan selepas pelaksanaannya dikaitkan dengan pelbagai masalah, termasuk kes keracunan makanan melibatkan ribuan murid sekolah.

Jun lalu, ketua agensi pemakanan negara yang bertanggungjawab melaksanakan program itu ditahan atas dakwaan rasuah, termasuk aduan hidangan tercemar yang merangkumi penemuan ulat dan serpihan kaca dalam nasi.

Tinjauan Penyelidikan dan Perundingan  Saiful Mujani bulan ini mendapati kira-kira 62 peratus rakyat Indonesia menentang program makanan percuma itu, manakala kadar kelulusan terhadap Prabowo merosot kepada 44.5 peratus, paling rendah dalam kalangan presiden negara itu sejak tinjauan pendapat bermula 20 tahun lalu.

Tekanan ekonomi turut menambah keresahan rakyat apabila nilai rupiah merosot ke paras terendah dalam sejarah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) tahun ini, selain Indonesia sudah mempunyai tiga menteri kewangan dalam tempoh dua tahun.

Kerajaan Indonesia berkata pihaknya mengalu-alukan tuntutan mahasiswa sebagai sebahagian daripada usaha memupuk demokrasi, selain menegaskan kebimbangan berhubung alam sekitar, ekonomi dan pembaharuan undang-undang sedang ditangani. 

Penganalisis daripada firma penyelidikan pendapat Indonesia, Indikator, Kennedy Muslim, berkata keadaan tidak menentu ketika ini meningkatkan potensi berlakunya demonstrasi lebih besar, meskipun bantahan setakat ini masih berskala kecil. 

Menurutnya, satu pencetus yang tidak dijangka boleh mencetuskan gelombang bantahan seterusnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini