Penduduk dakwa kilang sawit cemari air parit

Penduduk dakwa kilang sawit cemari air parit

PENDUDUK menunjukkan air parit yang tercemar dipercayai daripada sisa buangan kilang kelapa sawit di Langkap di Pasir Salak, Perak - UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR SALAK: Air parit di Langkap di sini didakwa tercemar akibat sisa buangan sebuah kilang kelapa sawit berhampiran sehingga bertukar hitam, berlumpur dan mengeluarkan bau busuk.

Penduduk, Mohd Nazri Long, 53, mendakwa, sisa berkenaan dipercayai mengalir ke dalam parit sebelum memasuki Sungai Batang Padang, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap kesihatan penduduk dan alam sekitar.

Menurutnya, pencemaran itu turut menjejaskan tanaman kelapa sawit penduduk yang diusahakan berhampiran parit berkenaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Air sisa dari kilang mengalir ke dalam parit sebelum memasuki Sungai Batang Padang, menyebabkan kawasan itu berbau busuk dan meloyakan,” katanya.

Katanya, sumber ikan di kawasan sungai berkenaan juga semakin berkurangan sehingga menjejaskan penduduk yang bergantung kepada hasil sungai untuk mencari rezeki.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Sidek Khabullah, 53, berkata sisa buangan itu turut mengalir ke parit berhampiran Sungai Batang Padang sebelum menuju ke Sungai Perak.

Situasi berkenaan dikhuatiri menyebabkan pencemaran lebih serius sekiranya tidak ditangani segera, termasuk kemungkinan menjejaskan sungai lain seperti Sungai Pahlawan.

“Air parit bertukar hitam pekat dan mengeluarkan bau busuk akibat sisa buangan berkenaan. Kami bimbang keadaan ini terus berlarutan,” katanya.

Sehubungan itu, penduduk menggesa pihak berkuasa menjalankan pemeriksaan bagi mengenal pasti punca sebenar pencemaran serta mengambil tindakan sewajarnya bagi mengelakkan kesan lebih buruk terhadap alam sekitar dan kehidupan penduduk setempat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini