KUANTAN: Pengguna jalan raya dari arah Pelabuhan Kuantan menghala ke Balok melalui Kampung Selamat Pelabuhan, di sini terjejas berikutan sebahagian jalan berkenaan runtuh akibat hakisan tanah.
Kejadian Isnin lalu itu menyebabkan sebahagian laluan berkembar berkenaan terpaksa ditutup dan hanya satu laluan boleh digunakan oleh semua kenderaan.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, sebahagian jalan berkenaan kini ditutup dengan kon namun belum kelihatan kerja-kerja berkaitan dijalankan.
Namun difahamkan, masalah hakisan itu bukan satu-satunya yang membimbangkan pengguna jalan berkenaan, sebaliknya masalah lebih rumit bakal dihadapi mereka apabila tiba musim tengkujuh kelak sekiranya jalan yang rosak tidak dibaiki segera.
Ini kerana setiap kali musim hujan, laluan dari arah Balok menghala ke Pelabuhan Kuantan dilimpahi air sehingga terpaksa ditutup untuk kenderaan ringan jika paras air terlalu tinggi.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Selamat Pelabuhan, Abdul Aziz Manap berkata, masalah itu sudah lama berulang dan keadaan kini semakin meruncing susulan kejadian hakisan tanah yang berlaku baru-baru ini.
Katanya, setiap kali laluan menghala ke Pelabuhan Kuantan terutama selepas simpang lampu isyarat ditenggelami air, jalan berkenaan ditutup untuk kenderaan ringan.
“Sebagai alternatif, laluan dari arah Pelabuhan Kuantan ke Balok dibuka menjadi laluan dua hala bagi kenderaan yang ingin masuk atau keluar Pelabuhan Kuantan. Namun kini laluan ini pula yang mengalami hakisan akibat air laut pasang baru-baru ini dan hanya satu laluan boleh digunakan,” katanya di sini semalam.
Justeru, katanya, penduduk dan pengguna jalan berkenaan berharap supaya kerosakan jalan akibat hakisan itu dapat dibaiki segera sebelum tiba musim tengkujuh.
“Jika tidak, keadaan ini pasti menimbulkan kerumitan bukan sahaja kepada penduduk kampung ini malah pekerja di Pelabuhan Kuantan serta anggota tentera laut yang bertugas di Tanjung Gelang, di sini,” katanya.
Mengenai kejadian hakisan, Abdul Aziz berkata, tinjauan pihaknya mendapati berlaku hakisan baru selepas kejadian Isnin lalu menyebabkan lubang semakin dalam.
“Sekarang ini air laut pasang besar melebihi tiga meter dan jika tiada tindakan segera diambil dikhuatiri masalah hakisan ini lebih parah. Selain itu faktor keselamatan pengguna jalan ini juga perlu diutamakan memandangkan keadaan jalan yang gelap pada waktu malam serta lokasi hakisan pada kawasan berselekoh,” katanya. – UTUSAN











