Sindiket scam sewa kediaman mewah, kaut untung RM6 juta

Sindiket scam sewa kediaman mewah, kaut untung RM6 juta

ZAKARIA Shaaban pada sidang akhbar JIM di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sindiket penipuan dalam talian kini sanggup berbelanja besar termasuk menyewa banglo dan kondominium mewah di lokasi strategik di Lembah Kelang bagi menjalankan aktiviti mereka.

Serbuan terbaharu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) sejak semalam dan hari ini mendedahkan, sindiket itu sanggup membayar RM5,000 sebulan bagi unit kondominium dan RM25,000 bagi unit banglo.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, pihaknya berjaya menyerbu empat unit kondominium dan dua banglo mewah yang dijadikan hab sindiket masing-masing terletak di Jalan Kerinchi, Kuala Lumpur dan The Mines, Seri Kembangan, Selangor.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati sindiket berkenaan memilih kediaman mewah itu kerana mempunyai kawalan keselamatan tinggi selain menawarkan privasi bagi mengelakkan kegiatan mereka dikesan orang awam.

“Menerusi dua serbuan itu, sindiket dipercayai telah mengaut hasil kira-kira RM6 juta dalam tempoh dua bulan sebelum kegiatan mereka terbongkar.

“Operasi itu membawa kepada penahanan 64 warga asing terdiri daripada 44 warga China, 19 warga Vietnam dan seorang warga Myanmar,” katanya pada sidang akhbar khas di sini, hari ini.

Katanya, siasatan mendapati, ahli sindiket yang ditempatkan di premis itu menjalankan aktiviti mereka sepenuhnya di dalam kediaman tanpa keluar untuk membeli-belah atau melakukan urusan lain.

Zakaria berkata, segala aktiviti hanya berlaku di dalam kediaman berkenaan dan bekalan makanan pula dibekalkan secara harian atau mingguan.

Menurutnya, pihaknya turut menemukan kemudahan hiburan termasuk karaoke dan minuman beralkohol, selain mengesyaki terdapat aktiviti perjudian dalam talian berdasarkan peralatan yang ditemukan.

“Malah, rekod bagi hari serbuan menunjukkan transaksi melebihi RM60,000 telah direkodkan setakat pemeriksaan dilakukan.

“Kebanyakan transaksi dipercayai menggunakan akaun e-dompet yang didaftarkan di luar negara, termasuk di China dan negara lain,” katanya.

Dalam operasi itu, JIM turut merampas pelbagai barang kes termasuk telefon bimbit, komputer, komputer riba, pasport yang disyaki palsu, buku rekod transaksi serta wang tunai berjumlah RM51,300.

Zakaria berkata, berdasarkan rekod pergerakan, sebahagian besar individu yang ditahan memasuki Malaysia melalui Kemboja, namun mereka dipercayai menggunakan pasport tulen dan memasuki negara ini melalui saluran yang sah.

“Bagaimanapun, kami mengesyaki sindiket berkenaan menyediakan pasport negara lain yang dipercayai palsu sebagai persediaan untuk melarikan diri sekiranya operasi penguatkuasaan dilakukan.

“Sekiranya mereka mengetahui ada serbuan dan sebagainya, mereka sudah bersedia dengan pasport-pasport negara lain yang kita syaki setakat ini ialah pasport palsu,” katanya.

Beliau berkata, kedua-dua sindiket yang diserbu itu setakat ini dipercayai beroperasi secara berasingan kerana pihaknya belum memperoleh bukti yang mengaitkan kedua-duanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini