AS kenakan sekatan baharu sektor automotif, kereta api Iran

AS kenakan sekatan baharu sektor automotif, kereta api Iran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengenakan sekatan baharu terhadap Iran dengan menyasarkan syarikat besar dalam sektor kereta api dan automotif serta pembekal antarabangsa kepada sektor berkenaan, menurut Jabatan Perbendaharaan AS.

Tindakan itu merupakan usaha terbaharu AS untuk meningkatkan tekanan ekonomi terhadap Teheran.

Sekatan berkenaan adalah sebahagian daripada program ‘Operation Economic Outcast’ yang diumumkan jabatan itu pada 24 Ogos, bertujuan menyekat sumber kewangan Teheran untuk membiayai perang, pembangunan peluru berpandu, serangan siber dan Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC).

Memuatkan artikel berkaitan…

Program itu bertujuan memaksa Teheran berunding bagi menamatkan perang yang tercetus susulan serangan AS dan Israel ke atas Iran kira-kira tujuh bulan lalu.

Menurut Jabatan Perbendaharaan, sekatan AS terhadap penghantaran minyak Iran melalui Selat Hormuz menyebabkan Teheran semakin bergantung kepada pengangkutan darat termasuk kereta api dan kenderaan untuk membawa petroleum, baja, bahan kimia serta barangan lain.

Lapor Reuters, sekatan pada Khamis menyasarkan laluan alternatif berkenaan, menurut jabatan itu.

Jabatan Perbendaharaan menyenaraikan Iran Khodro Company (IKCO) dan SAIPA Iranian Automobile Manufacturing Company (SAIPA) sebagai sasaran sekatan. Menurutnya, kedua-dua syarikat itu menguasai lebih 90 peratus pasaran automotif domestik Iran.

Jabatan itu turut menyenaraikan Islamic Republic of Iran Railway Company milik kerajaan yang menyediakan perkhidmatan penumpang dan kargo, Raja Passenger Trains Company serta Sherkat-E Rah Ahan-E Khamle-O-Naghle, yang turut dikenali sebagai Railway Transportation Company dan disifatkan sebagai antara syarikat pengangkutan kargo swasta utama Iran.

Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent berkata, tindakan itu menyasarkan secara langsung pihak yang membantu Iran dan meletakkan asas bagi AS serta rakan-rakannya untuk menyekat sumber pendapatan rejim itu buat ‘selama-lamanya’.-

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN