TEHERAN: Pemimpin Tertinggi Iran, Mojtaba Khamenei pada Sabtu memberi amaran kepada Amerika Syarikat (AS) dan Israel supaya tidak kembali berperang, menurut satu kenyataan bertulis, susulan ancaman musuh Republik Islam itu berhubung kemungkinan serangan disambung semula.
“Jika musuh sekali lagi melancarkan serangan ketenteraan atau pengganas, Angkatan Tentera Republik Islam dan rakyat Iran akan menentukan masa serta syarat untuk menamatkannya,” menurut kenyataan yang dikaitkan dengan Khamenei dan disiarkan di laman web rasminya.
Kenyataan itu dikeluarkan ketika Khamenei dilaporkan mengadakan pertemuan dengan komander kanan tentera, termasuk Ketua Turus Angkatan Tentera, Ali Abdollahi; Panglima Tentera Darat, Amir Hatami dan Komander Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC), Ahmad Vahidi.
Ia merupakan pertemuan pertama antara mereka yang dilaporkan kepada umum.
Khamenei tidak pernah muncul di khalayak ramai sejak dilantik sebagai pemimpin tertinggi, menggantikan bapanya, Ayatollah Ali Khamenei yang terbunuh dalam serangan AS-Israel pada permulaan perang di Asia Barat pada Februari lalu.
Menurut kenyataan itu, Khamenei mengarahkan para komander berkenaan memastikan bahawa setiap tahap atau bentuk ancaman mesti dibalas dengan tindak balas segera, berkesan dan tanpa batasan geografi.
Kenyataan itu turut menyebut bahawa Khamenei mengarahkan para komander mengemas kini senarai sasaran Iran dengan memasukkan semua jenis aset ketara dan tidak ketara milik musuh Amerika-Zionis.
Peperangan itu bermula pada 28 Februari menerusi serangan AS-Israel ke atas Iran yang segera membalas dengan melancarkan serangan terhadap negara-negara di rantau berkenaan.
Kenyataan pemimpin tertinggi itu dikeluarkan ketika usaha diplomatik baharu sedang dijalankan bagi mengelakkan pertempuran kembali tercetus. – AFP











