RIYADH: Pertahanan udara Arab Saudi memintas sebuah dron di wilayah Riyadh pada Sabtu, menurut jurucakap pakatan ketenteraan diketuai Arab Saudi yang memerangi kumpulan Houthi di Yaman.
“Pertahanan udara memintas dan memusnahkan sebuah dron musuh di wilayah Riyadh,” tulis Turki al-Malki di platform X, sambil menambah bahawa serpihan hasil pemintasan itu terhempas tanpa menyebabkan sebarang kecederaan.
Malki tidak menyatakan pihak yang melancarkan dron berkenaan.
Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, kumpulan Houthi yang disokong Iran di Yaman meningkatkan serangan terhadap Arab Saudi.
Ia termasuk serangan maut ke atas Lapangan Terbang Riyadh sehingga memaksa operasi lapangan terbang itu ditutup selama dua minggu dan beberapa acara utama dibatalkan, sekali gus mengancam rancangan kerajaan itu untuk mempelbagaikan ekonominya.
Pada Jumaat, Malki berkata, kumpulan Houthi menyasarkan wilayah Madinah, lokasi bandar kedua paling suci bagi umat Islam. Namun, kumpulan itu kemudian menafikan dakwaan berkenaan.
Serangan Houthi terhadap infrastruktur minyak, lapangan terbang dan kapal Arab Saudi berlaku selepas pertempuran antara kumpulan itu dengan kerajaan Yaman yang diiktiraf masyarakat antarabangsa selain disokong Riyadh kembali tercetus pada musim panas lalu.
Menurut angka Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), lebih 1,600 orang terbunuh manakala lebih 275,000 lagi kehilangan tempat tinggal sejak pertempuran kembali memuncak.
Pada Julai lalu, gencatan senjata rapuh yang dimeterai pada 2022 runtuh selepas Houthi membenarkan sebuah pesawat Iran mendarat di ibu negara Yaman, Sanaa, dengan mencabar kawalan Arab Saudi terhadap ruang udara negara itu, sekali gus mencetuskan gelombang serangan.
Selepas itu, Houthi mengisytiharkan sekatan maritim terhadap Arab Saudi dan mula menyerang kapal, wilayah dan kemudahan minyak negara itu sebelum menawan seluruh kawasan pesisir Laut Merah Yaman menerusi kempen ketenteraan pantas.
Houthi turut melaporkan serangan udara Arab Saudi yang kerap berlaku di kawasan di bawah kawalan mereka ketika Riyadh bertindak balas terhadap serangan berkenaan. – AFP











