SEPANG: Pelumba Moto3 negara, Hakim Danish Ramli mengotakan janjinya untuk memberikan tentangan sengit pada perlumbaan di laman sendiri, selepas dia menempah petak ketiga pada Grand Prix (GP) Motosikal Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) di sini, hari ini.
Anak jati Terengganu yang bernaung di bawah pasukan AEON Credit MT-Helmets MSi itu melakar masa sepusingan 2 minit 10.529 saat (s) pada sesi kelayakan 2 (Q2).
Juara dunia Moto3 yang baharu, Maximo Quiles dari pasukan CFMOTO Gaviota Aspar Team mengungguli saingan dengan catatan masa sepusingan terpantas 2:10.396s, manakala, pelumba Red Bull KTM Ajo, Brian Uriarte berada di kedudukan ketiga (2:104.80s).
David Almansa dari pasukan Liqui Moly Dynavolt Intact GP pula melengkapkan aksinya di kedudukan keempat (2:10.571s), manakala, Alvaro Carpe dari Red Bull KTM Ajo di tangga kelima (2:10.604s).
Hakim Danish kini menghuni kedudukan kesembilan dalam Kejuaraan Dunia Moto3 selepas mengumpul 103 mata.
Sekiranya pelumba berusia 19 tahun itu berjaya mengekalkan kedudukan dalam kelompok tiga terbaik pada perlumbaan sebenar, esok, maka keputusan tersebut adalah podium ketiga pada musim pertamanya selaku pelumba tetap. – UTUSAN











