KUALA LUMPUR: Orang ramai digalakkan menyalurkan maklumat mengenai individu atau syarikat yang disyaki tidak melaporkan cukai dengan betul menerusi platform e-Pelarian Cukai bagi membantu Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) mengesan ketidakpatuhan percukaian.
Ketua Pegawai Eksekutif HASiL, Datuk Dr. Abu Tariq Jamaluddin berkata, setiap maklumat yang diterima akan dirahsiakan bagi melindungi identiti pemberi maklumat.
Katanya, kerjasama masyarakat penting bagi membantu pihaknya mengenal pasti pihak yang cuba mengelak tanggungjawab membayar cukai atau tidak mengisytiharkan pendapatan dengan tepat.
“Kita menggalakkan masyarakat yang mempunyai maklumat berhubung mana-mana individu atau syarikat yang mungkin tidak melaporkan cukai dengan betul supaya memaklumkannya kepada HASiL menerusi platform e-Pelarian Cukai yang disediakan.
“Kita juga akan sentiasa memastikan maklumat yang diterima disimpan dengan baik,” katanya pada sidang media sempena Majlis Penutupan Bulan HASiL 2026, di sini hari ini.
Dalam perkembangan lain, Abu Tariq berkata, Bulan HASiL 2026 turut mempromosikan beberapa program pengakuan sukarela berkaitan percukaian, pelaksanaan e-Invois dan Duti Setem.
Menurutnya, program pengakuan sukarela Duti Setem dijadualkan berakhir hujung tahun ini, manakala program berkaitan e-Invois akan berlangsung sehingga penghujung tahun depan.
Sementara itu, sebanyak 251 program Jelajah Literasi HASiL dilaksanakan di seluruh negara sepanjang Oktober bagi meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai percukaian.
Katanya, hampir 300,000 orang menyertai pelbagai program sepanjang Bulan HASiL 2026, selain pihaknya menerima kira-kira 50,000 maklum balas menerusi tinjauan berkaitan kepuasan terhadap perkhidmatan, pembayaran cukai dan penggunaan hasil kutipan cukai.
Dapatan tinjauan itu berkemungkinan dikongsikan kepada umum bagi memberi gambaran mengenai pandangan masyarakat terhadap sistem percukaian negara. -UTUSAN











