MUSCAT: Oman berkata bahawa pihaknya menyelamatkan 25 kelasi daripada sebuah kapal dagang yang terbakar selepas diserang, ketika Iran melaporkan pelayaran tiga kapal tangki minyak dihentikan ketika melalui Selat Hormuz.
Teheran menyekat pergerakan kapal melalui selat itu sejak perang di Asia Barat tercetus pada 28 Februari susulan serangan Amerika Syarikat (AS) dan Israel terhadap Republik Islam berkenaan.
Laluan air sempit yang lazimnya menyalurkan kira-kira satu perlima bekalan minyak dunia itu kini menjadi tumpuan konflik, dengan kapal-kapal kerap menjadi sasaran serangan Iran.
Tentera laut Oman melaksanakan operasi pemindahan 25 anak kapal dagang RITI yang mengibarkan bendera Panama selepas kapal itu diserang sehingga menyebabkan kebakaran di atas kapal, menurut Pusat Keselamatan Maritim Oman dalam satu kenyataan, Jumaat.
Anak kapal berkenaan diberikan rawatan perubatan, menurut kenyataan Oman itu tanpa memperincikan keadaan mereka.
Laman sesawang pengesanan kapal Marine Traffic menyifatkan RITI sebagai kapal tangki minyak mentah.
Ketua Markas Pusat AS (CENTCOM), Brad Cooper berkata dalam video yang dikeluarkan pada Jumaat bahawa pasukan AS berjaya membersihkan laluan utama pelayaran antarabangsa diiktiraf di selat itu daripada periuk api laut yang dipasang Iran.
Beliau menambah, pasukan AS kekal berada di kawasan itu bagi memastikan semua laluan utama pelayaran di Selat Hormuz bebas daripada ancaman periuk api.
Cooper berkata, beliau turut mengunjungi sebahagian daripada lebih 50,000 anggota tentera AS yang ditempatkan di rantau itu, sambil mengulangi kenyataan terdahulu bahawa Washington membantu negara-negara Teluk mengeksport lebih 1.5 bilion tong minyak mentah melalui selat berkenaan sejak musim panas.
Agensi keselamatan maritim Britain, UKMTO, berkata, sebuah kapal yang berada 74 kilometer di selatan Pulau Lavan, Iran, diserang peluru tidak dikenal pasti pada Jumaat sehingga menyebabkan kebakaran di atas kapal.
“Anak kapal dilaporkan selamat dan setakat ini tiada kesan terhadap alam sekitar dilaporkan,” menurut UKMTO menerusi platform X.
Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) sebelum itu berkata, pelayaran tiga kapal tangki minyak dihentikan selepas berdepan beberapa insiden yang tidak diperincikan atau terkena periuk api.
“Dua kapal tangki minyak yang melakukan kesalahan, masing-masing di bahagian timur dan barat Selat Hormuz, cuba melalui laluan yang tidak dibenarkan sebelum berdepan insiden dan dihentikan di perairan selatan selat itu, menurut IRGC dalam satu kenyataan.
Iran mengarahkan semua kapal menggunakan laluan yang ditetapkan melalui selat berkenaan dan menyelaraskan perjalanan dengan angkatan tenteranya, sambil menganggap koridor selatan yang lebih hampir dengan pesisir Oman sebagai laluan tidak dibenarkan. – AFP











