BEIJING: Presiden China, Xi Jinping melancarkan siri pembersihan pegawai tertinggi Parti Komunis China (PKC) secara berskala besar sebagai langkah untuk memperketat dan memperkemaskan disiplin dalaman parti berkenaan.
Penyingkiran 33 pegawai kanan menyebabkan PKC mencatat jumlah kerusi kosong tertinggi dalam sejarah sebelum mesyuarat tahunannya, sekali gus menggambarkan skala besar kempen antirasuah yang dilancarkan Xi.
Persidangan PKC yang membincangkan usaha memperketat disiplin dalaman minggu ini secara rasmi itu memecat jumlah tertinggi pegawai kanan dalam sejarah.
Ia juga mencatat kadar ketidakhadiran paling tinggi dalam sejarah moden parti itu susulan tindakan pembersihan yang mengecilkan barisan kepimpinannya.
Perhimpunan itu, yang merupakan sidang pleno kelima parti berkenaan sejak barisan kepimpinan semasa dibentuk pada 2022, turut menetapkan Kongres Parti Ke-21 berlangsung pada separuh kedua 2027 di Beijing.
Keputusan itu sekali gus memulakan proses penyusunan semula kepimpinan tertinggi China yang diadakan setiap lima tahun dan diatur rapi, dengan Jinping dijangka melanjutkan pemerintahannya untuk penggal lima tahun lagi.
Menerusi kenyataan rasmi parti, PKC menegaskan bahawa pihak mereka bertindak menghadapi realiti pahit berikutan kepimpinan parti yang dilihat semakin melemah dan terhakis sebelum ini.
Pihak parti turut menyatakan komitmen untuk terus melaksanakan tadbir urus kendiri secara ketat, termasuk mengambil tindakan drastik ke atas keanggotaan dalaman bagi mengekang sebarang bentuk pelanggaran disiplin.
Berdasarkan ringkasan prosiding yang dikeluarkan oleh agensi berita rasmi Xinhua, hanya seramai 279 ahli penuh dan ahli ganti badan kepimpinan menghadiri perhimpunan berkenaan pada minggu ini berbanding 376 ahli yang dilantik secara rasmi pada tahun 2022.
Perkembangan itu menunjukkan bahawa lebih satu perempat daripada jumlah asal jawatankuasa berkenaan tidak hadir, dengan sebahagian besarnya berpunca daripada tindakan pembersihan politik yang dijalankan.
Tindakan pembersihan itu turut menjejaskan Suruhanjaya Ketenteraan Pusat yang merupakan perintah tertinggi ketenteraan China, selepas lima daripada tujuh ahlinya yang dilantik dalam rombakan 2022 telah dipecat.
Keadaan itu hanya meninggalkan Jinping bersama Timbalan Pengerusi, Zhang Shengmin, seorang pegawai penguatkuasa disiplin dan bukannya komander operasi sebagai kepimpinan utama suruhanjaya tersebut yang masih memegang jawatan.
Satu perhimpunan khas yang diadakan telah mengesahkan pemecatan rasmi 33 pegawai terbabit daripada parti, termasuk bekas ahli Politburo, Ma Xingrui dan Zhang Youxia. – AGENSI











