ALOR GAJAH: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf sah berdepan pertandingan satu lawan satu bagi mempertahankan kerusi N02 Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka hari ini.
Perkara itu diumumkan Pengurus Pilihan Raya, Datuk Saifuddin Abdul Karim selepas proses penamaan calon ditutup pada pukul 10 pagi ini.
Saifuddin ketika pengumumannya memaklumkan, Ab. Rauf yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka akan dicabar calon Pakatan Harapan (PH), Yunazri Mustamiri yang juga Setiausaha Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Masjid Tanah.
“Saya menerima dua kertas penamaan calon. Yang pertama ialah calon BN pada pukul 9.03 pagi diikuti calon PH pada pukul 9.08 pagi.
“Saya sudah meneliti semua kertas penamaan calon dan tiada satu pun ditolak,” katanya dalam pengumuman ringkas di Pusat Penamaan Calon (PPC) sempena Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (DUN) N02 Tanjung Bidara di Dewan Datuk Kapt (B) Hj. Ab Karim di Japerun Tanjung Bidara di sini hari ini.
Pada PRN Melaka Ke-15 yang berlangsung pada 20 November 2021, Ab. Rauf memenangi kerusi DUN Tanjung Bidara dengan majoriti tipis sebanyak 364 undi menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Mas Ermieyati Samsudin.
Ab Rauf memperoleh 3,559 undi berbanding 3,195 undi yang diraih Mas Ermieyati. Perbezaan hanya 364 undi menunjukkan persaingan sengit antara BN dengan PN di kerusi berkenaan. -UTUSAN











