WASHINGTON: Presiden Donald Trump pada Jumaat berkata bahawa beliau percaya perang dengan Iran akan berakhir tidak lama lagi, meskipun terdapat laporan bahawa Amerika Syarikat (AS) dan Israel sedang merancang satu lagi gelombang serangan.
“Ia akan berakhir tidak lama lagi,” kata Trump dalam temu bual dengan sebuah stesen radio di Bandar Kansas ketika berkempen menjelang pilihan raya pertengahan penggal pada 3 November.
“Kita memerlukan jaminan bahawa senjata nuklear tidak akan dimiliki selama-lamanya,” katanya.
Trump sebelum ini berkata, AS tidak akan menyerang Iran sebelum pilihan raya berkenaan, dengan konflik itu menjadi antara isu utama sepanjang kempen berlangsung.
Kenyataan beliau dibuat ketika usaha diplomatik giat dijalankan di rantau itu bagi mencari jalan keluar daripada kebuntuan, selain laporan mengenai kemungkinan kempen ketenteraan baharu terhadap Iran selepas pilihan raya pertengahan penggal berakhir.
Pegawai kanan tentera AS yang bertanggungjawab terhadap operasi di Asia Barat, Laksamana Brad Cooper bertemu Trump di Rumah Putih pada Khamis bagi membentangkan pilihan ketenteraan terhadap Iran, lapor Wall Street Journal.
Perang AS-Iran kini tertumpu kepada laluan perkapalan melalui Selat Hormuz, lokasi Iran cuba menyekat eksport tenaga dari rantau itu sebagai tindak balas terhadap serangan awal AS-Israel.
Washington berjaya mewujudkan laluan perkapalan yang dilindungi melalui selat berkenaan, sekali gus membolehkan penghantaran minyak kembali meningkat ke paras sebelum perang meskipun serangan Iran masih berterusan.
Pada masa sama, AS mendakwa sekatan yang dilaksanakannya berjaya menghentikan sepenuhnya eksport minyak Iran.
Cooper yang juga Ketua Markas Pusat Pentagon (CENTCOM, berkata pada Jumaat bahawa ketika melakukan penerbangan baru-baru ini merentasi Selat Hormuz dan beliau tidak melihat kehadiran tentera Iran.
Ini kerana semua aset tentera laut negara itu ‘berada di dasar laut’.
“Saya melihat berpuluh-puluh kapal komersial melalui selat itu. Pelbagai jenis kapal termasuk kapal kargo, kapal tangki minyak mentah dan kapal pengangkut gas asli cecair (LNG),” katanya menerusi satu rakaman video.
“Saya langsung tidak melihat anggota Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) di kawasan itu,” katanya.
Beliau berkata, tentera AS memastikan laluan perkapalan di selat berkenaan bebas daripada periuk api laut yang dipasang Iran selepas operasi besar-besaran dilancarkan bagi menghapuskan bahan letupan itu.
Tentera AS mendakwa pihaknya membantu negara-negara Teluk mengeksport lebih 1.5 bilion tong minyak mentah sejak musim panas lalu.
Meskipun terdapat perkembangan positif itu, Iran masih meneruskan serangan terhadap kapal yang menggunakan laluan berkenaan.
Oman berkata pada Jumaat bahawa pihaknya menyelamatkan 25 kelasi daripada sebuah kapal dagang yang diserang sehingga terbakar di perairan laluan itu.
Iran pula melaporkan bahawa pelayaran tiga kapal tangki minyak telah dihentikan ketika melalui Selat Hormuz. – AGENSI











