KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkemungkinan menghantar pasukan ke Pakistan susulan penahanan 130 rakyat Malaysia di negara itu yang dipercayai terbabit dalam kegiatan penipuan siber.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata, pihaknya masih berhubung dengan pihak berkuasa Pakistan melalui Kementerian Luar bagi mendapatkan butiran lengkap mengenai penahanan berkenaan.
Katanya, perkara itu sudah dimaklumkan kepada Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) untuk tindakan susulan.
“Setakat ini, kita dimaklumkan seramai 130 rakyat Malaysia ditahan di sana. Ada antara mereka yang mempunyai visa dan ada juga yang visanya sudah tamat tempoh.
“Kerajaan Pakistan memberikan kerjasama sebaik mungkin bagi memastikan siasatan dapat dijalankan dengan baik. Kita masih memerlukan bantuan pihak berkuasa negara itu untuk mendapatkan segala butiran berkaitan,” katanya ditemui selepas Majlis Makan Malam Jasamu Dikenang anjuran Persatuan Bekas Polis Malaysia di sebuah hotel, di sini, malam tadi.
Mohd Khalid berkata, pihaknya sudah meminta JSJK meneruskan hubungan dengan pihak berkuasa Pakistan dan tidak menolak kemungkinan menghantar pegawai ke negara itu.
“Kita masih menunggu butiran lanjut dan berkemungkinan menghantar pegawai ke sana bagi mendapatkan maklumat sepenuhnya,” katanya.
Mengulas mengenai identiti individu yang ditahan, beliau berkata, PDRM belum menerima senarai lengkap daripada pihak berkuasa Pakistan.
“Kita belum mendapat senarai identiti keseluruhan, tetapi dimaklumkan oleh pihak Pakistan bahawa mereka adalah pemegang pasport Malaysia.
“Mereka terdiri daripada pelbagai kaum dan kita akan mendapatkan butiran lanjut secepat mungkin,” katanya.
media Pakistan sebelum ini melaporkan, Agensi Siasatan Jenayah Siber Kebangsaan (NCCIA) Pakistan menyerbu sebuah pusat panggilan di KASA Tower, Bahria Town Fasa VIII, Rawalpindi, yang disyaki menjalankan kegiatan penipuan siber terhadap rakyat Malaysia.
Menurut laporan portal ProPakistani pada Rabu lalu, sindiket berkenaan dipercayai menyamar sebagai pegawai khidmat pelanggan bank sebelum menghubungi mangsa melalui aplikasi panggilan internet.
Mangsa kemudian dimaklumkan kononnya terdapat transaksi mencurigakan dalam akaun bank mereka sebelum panggilan disambungkan kepada individu lain yang menyamar sebagai pegawai polis Malaysia.
Sebahagian individu terbabit didakwa memakai pakaian seragam polis dan menggunakan latar belakang menyerupai pejabat ketika membuat panggilan video bagi meyakinkan mangsa.
Mangsa kemudian diugut dengan dakwaan pengubahan wang haram atau tindakan jenayah sebelum didesak memindahkan wang.
Wang yang diperoleh dipercayai disalurkan melalui Touch ‘n Go eWallet sebelum ditukar kepada mata wang kripto.
Laporan itu turut menyebut sindiket berkenaan dipercayai dikendalikan seorang rakyat Malaysia yang berada di Kemboja dengan bantuan penyelia dan pengurus pusat panggilan di Pakistan.
Bagaimanapun, peranan sebenar setiap individu yang ditahan, jumlah kerugian dan bilangan mangsa masih dalam siasatan pihak berkuasa Pakistan. -UTUSAN








