Dana perang Houthi bernilai AS$2.5 bilion terbongkar - Utusan Malaysia

Dana perang Houthi bernilai AS$2.5 bilion terbongkar

KUMPULAN Houti berulang kali melancarkan serangan ke atas depot minyak Aramco, Areab Saudi. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUBAI: Kumpulan Houthi di Yaman terus melancarkan serangan peluru berpandu dan dron terhadap Arab Saudi, me­ngancam keselamatan perkapalan antarabangsa serta memperluaskan operasi ketenteraannya meskipun berdepan perang berpanjangan selain sekatan antarabangsa selama bertahun-tahun.

Sebahagian jawapannya terletak pada rangkaian kewangan yang luas, merangkumi soko­ngan Iran, perdagangan minyak, cukai, duti kastam, levi perniagaan dan kawalan terhadap kegiatan komersial di kawasan yang dikuasai Houthi.

Kajian menunjukkan kumpulan itu membangunkan eko­nomi perang yang menjana berbilion dolar setiap tahun, sekali gus memberikannya sumber kewangan yang jauh lebih luas daripada bekalan senjata dan bantuan ketenteraan yang diterima dari Teheran.

Memuatkan artikel berkaitan…

Laporan Pusat Kajian Strategik Mocha pada Julai menganggarkan sistem ekonomi selari yang dibangunkan Houthi menjana sumber kewangan dan menanggung kos secara langsung dan tidak langsung berjumlah kira-kira AS$2.5 bilion (RM10.13 bilion) setahun.

Secara berasingan, Jabatan Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) menyatakan kumpulan Houthi yang disokong Iran menjana lebih AS$2 bilion (RM8 bilion) setahun menerusi kegiatan perdagangan minyak secara haram.

Kedua-dua anggaran itu me­rangkumi kegiatan berbeza dan tidak boleh dicampurkan. Namun, ia menggambarkan skala rangkaian kewangan yang dikaitkan dengan kumpulan militia berkenaan.

Iran kekal sebagai penyokong utama Houthi dari luar negara dengan menyediakan bantuan ketenteraan manakala  pihak berkuasa AS berkata, Teheranmembantu mengekalkan sumber kewangan kumpulan itu menerusi bekalan minyak.

Jabatan Perbendaharaan AS pada Januari lalu menyatakan Teheran menjual minyak kepada Houthi dan menyediakan penghantaran minyak bulanan secara percuma menerusi syarikat milik Iran atau yang mempunyai kaitan dengannya.

Minyak itu boleh dijual dalam pasaran Yaman bagi menjana pendapatan kepada kumpulan berkenaan.

Pegawai AS turut menuduh Iran membekalkan senjata, maklumat penyasaran, nasihat ketenteraan dan kepakaran teknikal kepada Houthi.

Laporan Perkhidmatan Penyelidikan Kongres AS turut memetik sekatan terdahulu Washington terhadap individu Iran yang didakwa membantu Houthi mendapatkan peluru berpandu balistik dan kepakaran berkaitan.

Bagaimanapun, Houthi sebelum ini menafikan menggunakan bahan api dari Iran untuk membiayai operasi mereka.

Sejak menguasai ibu negara Yaman, Sanaa, pada 2014, Houthi membangunkan sistem kutipan hasil yang meluas di seluruh kawasan di bawah kawalan mereka.

Menurut anggaran Pusat Kajian Strategik Mocha, sistem kewangan itu merangkumi:

* AS$800 juta (RM3.2 bilion) daripada cukai dan duti kastam.

* AS$600 juta (RM2.4 bilion) daripada fi tambahan dan pelbagai levi.

* AS$300 juta (RM1.2 bilion) dalam bentuk sumbangan wang tunai dan barangan bagi menyokong usaha perang.

* AS$100 juta (RM405 juta) berkaitan aktiviti mobilisasi.

* AS$700 juta (RM2.8 bilion) kos tidak langsung yang dikenakan terhadap perniagaan menerusi caj pengangkutan, perkhidmatan dan bayaran lain. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini