PEMENANG Hadiah Nobel Keamanan, Navi Pillay tidak gentar menyuarakan kritikan dan pendiriannya terhadap Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, yang didakwa mencampuri urusan badan kehakiman antarabangsa.
Dalam satu temu bual bersama AFP, bekas hakim berusia 85 tahun itu menyampaikan pesanan tegas kepada Trump susulan tindakan Washington mengenakan sekatan terhadap Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).
“Panggil penasihat undang-undang anda dan minta mereka menjelaskan apa itu undang-undang antarabangsa,” katanya ketika ditanya mengenai mesejnya kepada Presiden AS itu.
Pillay menyifatkan sekatan berkenaan sebagai tindakan tidak sah, sambil menegaskan campur tangan terhadap sebuah mahkamah antarabangsa yang bebas tidak sepatutnya berlaku.
Pada 9 Oktober lalu, Washington mengumumkan sekatan terhadap ICC yang bertujuan melumpuhkan operasi hariannya, ketika pentadbiran Trump terus menyuarakan bantahan terhadap tindakan mahkamah itu.
Pentadbiran berkenaan berikrar untuk melumpuhkan ICC ‘batu demi batu’ selepas hakimnya mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, berhubung dakwaan jenayah di Gaza.
Pillay turut mempersoalkan pengumuman sekatan itu yang dibuat hanya beberapa jam selepas keputusan Hadiah Nobel diumumkan, sambil mendakwa tindakan itu mungkin berpunca daripada kekecewaan Trump kerana tidak menerima anugerah berkenaan.
Beliau membangkitkan pendirian pentadbiran AS terdahulu yang pernah menyambut baik waran tangkap ICC terhadap Presiden Russia, Vladimir Putin.
Baginya, perbezaan pendirian Washington dalam kedua-dua kes itu memperlihatkan sikap berat sebelah yang tidak wajar.
“Itu tindakan selektif, amalan dua standard dan itu satu kesalahan,” katanya.
Sekatan yang menjejaskan operasi teknologi dan perbankan ICC itu akan berkuat kuasa dalam tempoh enam bulan.

BATASAN USIA
Pillay turut mengkritik pegawai Israel yang mengecam penganugerahan Hadiah Nobel kepadanya.
Netanyahu menyifatkan Pillay sebagai berfikiran sempit, manakala Kementerian Luar Israel mendakwa Joseph Goebbels, tokoh propaganda Nazi, pasti ‘bertepuk tangan dari neraka’ atas penganugerahan itu.
“Saya fikir kenyataan itu sangat menyakitkan hati dan menghina. Goebbels mempunyai darah di tangannya… bertanggungjawab atas kematian ribuan orang. Bukan sahaja Yahudi, tetapi juga golongan kulit berwarna seperti saya,” katanya.
Pillay mengakui sokongan politik untuk membawa Netanyahu ke muka pengadilan ICC bagi menghadapi tuduhan terhadapnya masih terhad. Netanyahu bagaimanapun menafikan sekeras-kerasnya tuduhan berkenaan.
Namun, ketika ditanya sama ada Netanyahu berkemungkinan dibicarakan di ICC, Pillay yakin perkara itu akan berlaku.
“Sepanjang hidup, saya melihat orang ramai berjaya mengatasi pelbagai kesukaran. Jadi, saya yakin ia akan berlaku,” katanya.
Pillay masih cuba menerima hakikat dirinya memenangi Hadiah Nobel itu.
Hal itu kerana, anugerah berkenaan masih jarang diberikan kepada wanita, sekali gus mencerminkan ketidaksamaan dalam pemilihan penerima.
Pillay juga bimbang faktor usia akan mengehadkan keupayaannya untuk mengunjungi pelbagai negara bagi memperjuangkan keadilan antarabangsa dengan pengaruh lebih besar sebagai pemenang Hadiah Nobel Keamanan.
“Saya fikir usia akan sedikit membataskan pergerakan saya. Saya tidak lagi dapat bergerak aktif seperti dahulu,” katanya.
Beliau berkata demikian sambil mengimbas pengalamannya melawat 79 negara ketika berkhidmat sebagai Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB.











