Tatakelola: Kerajaan mampu beri pelbagai bantuan tunai tanpa naik cukai

Tatakelola: Kerajaan mampu beri pelbagai bantuan tunai tanpa naik cukai

SAIFUDDIN Nasution Ismail
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan berjaya menyediakan RM15 bilion bagi menjaga kebajikan rakyat menerusi pelbagai bentuk bantuan tunai, hasil kedudukan kewangan negara yang semakin kukuh tanpa perlu menaikkan cukai kepada rakyat.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ia diterjemahkan secara langsung kepada rakyat melalui pelbagai inisiatif termasuk bantuan pendidikan, bantuan tunai serta imbuhan kepada penjawat awam.

Menurutnya, Bantuan Awal Persekolahan (BAP) RM150 kepada setiap pelajar tahun ini akan dinaikkan kepada RM200 pada tahun depan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Belanjawan 2027 juga akan memberi bantuan tunai sebanyak RM2,500 kepada 90,000 pelajar Tingkatan Enam dan imbuhan sebanyak RM1,500 kepada penjawat awam berpangkat JUSA B ke bawah.

“Sementara itu, bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) juga akan diteruskan,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Saifuddin Nasution berkata, pencapaian itu selari dengan pesanan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada anggota perkhidmatan awam supaya tidak melakukan rasuah, pembaziran serta memastikan ketirisan dapat dielakkan.

Katanya, amalan tatakelola pentadbiran yang lebih telus selain pengurusan kewangan berhemah menyumbang kepada pengukuhan kedudukan ekonomi negara.

“Alhamdulillah, berkat pesanan ini dan tatakelola pentadbiran yang lebih telus, kedudukan ekonomi negara semakin kukuh dan Kerajaan Madani dapat lebih menjaga kebajikan rakyat.

“Ini yang kita mahu, negara yang aman makmur dan doa daripada rakyat agar Malaysia dapat meneruskan momentum yang positif ini, insya-Allah,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini