Kerajaan kekal stabil, tidak perlu rombak Kabinet, bubar Parlimen - Anwar - Utusan Malaysia

Kerajaan kekal stabil, tidak perlu rombak Kabinet, bubar Parlimen – Anwar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

MANILA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas kenyataan sesetengah pihak yang mendakwa berlaku ketidakstabilan dalam kerajaan ketika ini.

Beliau menegaskan, tidak wujud sebarang keperluan untuk merombak Kabinet mahupun membubarkan Parlimen susulan pentadbiran sedia ada berfungsi dan berjalan dengan baik.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, beberapa isu juga sengaja diperbesar-besarkan sambil menyifatkannya sekadar agenda kempen politik pihak tertentu.

Enggan melayan cakap-cakap mereka yang terbabit, beliau menyeru semua pihak supaya terus fokus bekerja dan membangunkan negara demi kepentingan rakyat.

“Jadi apa yang sedang diperbesar-besarkan itu sebenarnya hanyalah agenda kempen semata-mata. Namun, buat masa ini kita perlu kekal dengan haluan yang ditetapkan dan terus melaksanakan tugas.

 

“Apa yang penting ialah kita memberikan yang terbaik untuk negara ini.

 

“Saya masih percaya negara ini sebuah negara yang hebat dan mempunyai potensi yang sangat besar. Kita mempunyai masa depan yang cerah, jadi marilah kita terus fokus ke arah itu,” katanya pada sidang media pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-49, di sini.

Anwar berkata, ruang perbincangan politik sentiasa terbuka, termasuk melalui pertemuan rasmi dan tidak rasmi bersama dengan pemimpin parti serta anggota pentadbiran bagi menangani sebarang perbezaan pandangan.

Mengulas mengenai peletakan jawatan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, Perdana Menteri berkata beliau masih belum membuat sebarang keputusan berhubung perkara itu.

Beliau bagaimanapun menghormati prinsip Setiausaha Agung DAP berkenaan.

“Memang Anthony Loke memilih meletak jawatan, bagi dia atas soal prinsip. Saya terpaksa hormat pendirian dia.

“Walaupun saya sudah menasihati beliau kalau boleh memikirkannya semula, tetapi beliau atas dasar prinsip ini tidak meminta supaya saya terima letak jawatan yang belum saya lakukan,” katanya.

Beliau berkata, Loke juga masih menyokong Kerajaan MADANI dan setakat ini tiada desakan rasmi untuk mengadakan rombakan Kabinet.

Justeru, beliau mahu semua anggota pentadbiran memberi tumpuan kepada tanggungjawab masing-masing dan meneruskan agenda kerajaan.

Pada 10 November lalu, Loke mengumumkan peletakan jawatannya dalam Kabinet berkuat kuasa serta-merta.

Ia susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, menjalani baki hukuman penjara secara tahanan di rumah bermula pada hari berkenaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini