KUALA LUMPUR: Hampir 300,000 orang menyertai pelbagai program anjuran Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) sepanjang Oktober ini bagi meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai sistem percukaian negara.
Ketua Pegawai Eksekutif HASiL, Datuk Dr. Abu Tariq Jamaluddin berkata, sebanyak 251 program Jelajah Literasi HASiL dilaksanakan di seluruh negara bagi mendekati masyarakat dan memberi penjelasan berhubung isu percukaian.
Katanya, program sempena Bulan HASiL 2026 turut memberi peluang kepada masyarakat menyampaikan pandangan mengenai perkhidmatan percukaian yang disediakan pihaknya.
“Sepanjang tempoh satu bulan ini, kita telah menjalankan beberapa aktiviti termasuk Jelajah Literasi HASiL dengan melaksanakan 251 jelajah di seluruh negara untuk bertemu masyarakat dan menerangkan isu percukaian.
“Kita percaya hampir 300,000 pembayar cukai di seluruh negara telah mengambil bahagian dalam program yang dianjurkan sepanjang Bulan HASiL ini,” katanya dalam sidang akhbar sempena Majlis Penutupan Bulan HASiL 2026 di AEON Mall AU2, Setiawangsa, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Abu Tariq berkata, kira-kira 50,000 maklum balas diterima menerusi tinjauan yang dijalankan sepanjang program berkenaan bagi mengetahui pandangan masyarakat terhadap isu percukaian dan perkhidmatan HASiL.
Menurutnya, tinjauan itu mengandungi lima soalan antara lain bertujuan mengenal pasti tahap kepuasan masyarakat terhadap perkhidmatan HASiL, keselesaan mereka membayar cukai serta kefahaman mengenai penggunaan hasil kutipan cukai.
“Kita bertanyakan pandangan mereka mengenai perkhidmatan yang diberikan, sama ada mereka berpuas hati, selesa untuk membayar cukai dan mengetahui ke mana cukai yang dikutip digunakan,” katanya.
Beliau berkata, dapatan tinjauan itu berkemungkinan akan dikongsikan kepada umum bagi memberikan gambaran mengenai pandangan masyarakat terhadap isu percukaian di negara ini.
Sementara itu, katanya, Bulan HASiL 2026 turut memberi tumpuan kepada promosi program pengakuan sukarela serta pelaksanaan e-Invois bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai tanggungjawab percukaian.
HASiL turut menggalakkan orang ramai menyalurkan maklumat mengenai individu atau syarikat yang disyaki tidak melaporkan cukai dengan betul menerusi platform pelaporan pelarian cukai yang disediakan. – UTUSAN











