JPA tingkat kualiti hidup, ekonomi dan pendidikan rakyat - Utusan Malaysia

JPA tingkat kualiti hidup, ekonomi dan pendidikan rakyat

WAN Ahmad Dahlan Abdul Aziz (dua dari kiri) pada Majlis Penutupan Rasmi Program Kampung dan Sekolah Angkat MADANI JPA 2026 di Sekolah Kebangsaan (SK) Kota Bharu, Gopeng hari ini. - UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GOPENG: Komitmen Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bukan sekadar berkisar isu penjawat awam tetapi rakyat khususnya penduduk kampung demi meningkatkan kualiti kehidupan, ekonomi dan pendidikan mereka.

Program strategik itu diterjemahkan menerusi peruntukan RM1.465 juta bagi pembangunan infrastruktur, kemudahan awam dan pendidikan melalui Program Kampung dan Sekolah Angkat MADANI JPA 2026 di Kampung Kota Bharu dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Malim Nawar.

Menurut Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Dr. Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, pelaksanaan program sejak April lalu membuktikan bahawa kerjasama strategik antara agensi kerajaan mampu menterjemahkan perancangan kepada hasil yang memberi manfaat langsung kepada rakyat.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pada bulan April lalu, kita hadir membawa pelan tindakan. Dengan peruntukan sebanyak RM500,000 untuk kampung dan RM100,000 untuk sekolah angkat MADANI kita.

“Tetapi hari ini, pada penghujung bulan Oktober, kita tidak lagi bercakap tentang janji. Hari ini, kita kembali untuk melihat bukti,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada Majlis Penutupan Rasmi Program Kampung dan Sekolah Angkat MADANI JPA 2026 di Sekolah Kebangsaan (SK) Kota Bharu di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Pengerusi PUSPANITA Cawangan Kecil Jabatan Perkhidmatan Awam, Puan Sri Dr. Azlifah Bahari, Pegawai Kewangan Negeri Perak, Datuk Mohd Zaki Mahyudin dan Ketua Kampung Kota Bharu, Ramlan Zakaria.

Wan Ahmad Dahlan berkata, bagi Kampung Angkat MADANI, peruntukan RM500,000 daripada Kementerian Kewangan dan RM35,000 daripada JPA digunakan untuk melaksanakan lapan projek fizikal, termasuk menaik taraf masjid, dewan orang ramai, klinik kesihatan, balai polis dan astaka SK Kota Baharu, pembinaan mercu tanda kampung serta penyediaan papan pintar.

“Kerjasama dengan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) turut membolehkan pemasangan 40 unit lampu solar bernilai RM380,000 manakala Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) memperuntukkan RM450,000 bagi pembinaan dewan serba guna baharu yang boleh menempatkan dua gelanggang badminton.

“Bagi Sekolah Angkat MADANI, SMK Malim Nawar, sebanyak RM90,000 diperuntukkan untuk menaik taraf makmal komputer, bengkel Reka Bentukdan Teknologi (RBT) serta makmal sains, manakala RM10,000 disalurkan bagi program pembangunan pendidikan pelajar dan guru,” katanya.

Jelasnya, pegawai awam tidak boleh sekadar berteori tetapi perlu berempati, turun padang mendengar luahan hati, dan memahami sendiri denyut nadi rakyat.

“Penduduk perlu menjaga dan memanfaatkan kemudahan yang disediakan demi kesejahteraan komuniti serta generasi akan datang.

“Kerana pembangunan MADANI bukanlah sekadar tentang membina infrastruktur yang megah tetapi tentang membina potensi dan jiwa warganya,” katanya.

Pada majlis tersebut, sebanyak 97 keluarga turut menerima bantuan Bakul Rahmah, sumbangan bantuan kepada peniaga dan pelajar sekolah.

Lebih istimewa lagi, terdapat mercu tanda baharu Kampung Angkat MADANI yang memaparkan hasil karya seniman agung negara, Datuk Mohammad Nor Mohd.Khalid atau Datuk Lat yang mencerminkan identiti dan lambang kebanggaan Kampung Kota Bharu. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini