KOTA BHARU: Malaysia dan Thailand akan mempergiat kerjasama bagi mempercepat usaha menangani masalah banjir di kawasan sempadan, khususnya membabitkan muara Sungai Golok yang dikenal pasti antara punca banjir di Kelantan dan selatan Thailand.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau sudah dua kali mengadakan rundingan dengan Kerajaan Thailand termasuk Perdana Menteri baharu negara itu bagi memastikan tindakan segera dapat dilaksanakan.
Katanya, usaha berkenaan penting kerana penyelesaian masalah di muara Sungai Golok bukan sahaja dapat mengurangkan kesan banjir di Kelantan, malah turut memberi manfaat kepada kawasan selatan Thailand.
“Kerajaan sudah melaksanakan beberapa langkah mitigasi banjir termasuk kerja berkaitan hakisan, pelaburan serta pendalaman sungai, namun isu muara Sungai Golok masih memerlukan perhatian segera.
“Saya berharap perkembangan rundingan dan kerjasama antara Malaysia dengan Thailand berhubung perkara berkenaan dapat dimaklumkan dalam tempoh sebulan.
“Yang saya rasa mendesak adalah soal muara Sungai Golok sebab itu menjadi antara punca. Saya harap dalam tempoh sebulan ini dapat dilaporkan kemajuan antara Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Thailand,” katanya semasa berucap merasmikan Skim Usahawan Bangkit Negeri Kelantan di sini, hari ini.
Anwar turut memberi perhatian kepada pembangunan jambatan Rantau Panjang-Golok yang memerlukan kerjasama erat antara kerajaan Persekutuan dengan negeri.
Katanya, usaha pembangunan kawasan sekitar jambatan berkenaan juga perlu dilaksanakan bagi membawa wajah baharu kepada Rantau Panjang.
Ahli Parlimen Tambun itu turut merakamkan penghargaan kepada Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) kerana mempercepat urusan pengambilan tanah dan perkara berkaitan bagi membolehkan projek pembangunan dilaksanakan.
Anwar berkata, hubungan baik dengan negara jiran bukan sekadar penting untuk mengekalkan persefahaman, malah menjadi asas menyelesaikan masalah bersama yang memberi kesan kepada rakyat kedua-dua negara.
“Malaysia juga bersedia menjalinkan kerjasama dalam pembangunan di selatan Thailand dengan harapan keamanan dapat membantu memacu kemajuan wilayah berkenaan serta kawasan utara Semenanjung,” katanya. -UTUSAN











