TEHERAN: Tentera Iran memberi amaran pada Sabtu bahawa sebarang serangan baharu oleh Amerika Syarikat (AS) hanya akan meluaskan lagi skala peperangan, susulan ancaman Amerika dan Israel untuk melancarkan lebih banyak tindakan ketenteraan ketika kedua-dua negara itu mengadakan pilihan raya penting.
Amaran Iran itu dikeluarkan ketika usaha diplomatik baharu sedang dijalankan bagi mengelakkan pertempuran kembali tercetus, dengan pengantara Qatar berada di Teheran dan Naib Presiden AS, JD Vance, dilaporkan menghantar surat kepada Ketua Keselamatan Iran, Mohsen Rezaei.
“Jika Presiden AS sekali lagi memulakan tindakan ketenteraan di rantau ini akibat tekanan Zionis dan dalam usaha untuk memenuhi kehendak mereka, api peperangan sudah pasti akan merebak ke kawasan geografi yang jauh lebih luas,” kata jurucakap tentera Iran, Mohammad Akraminia, dalam hantaran di X tanpa memberikan penjelasan lanjut.
Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi, turut memberi amaran pada Sabtu bahawa: “Angkatan Tentera Iran yang perkasa akan bertindak terhadap sesiapa sahaja yang berani mengancam rakyat kami.”
Pada Jumaat, delegasi Qatar tiba di ibu negara Iran untuk mengadakan rundingan dengan pegawai kanan negara itu.
Qatar dan Pakistan menjadi pengantara antara pihak-pihak yang berperang, tetapi rundingan berkenaan masih belum menghasilkan sebarang perjanjian berkekalan.
Akhbar Wall Street Journal melaporkan pada Rabu bahawa Vance menghantar surat kepada ketua keselamatan Iran atas arahan Presiden Donald Trump dalam usaha menghidupkan semula rundingan dan mengelakkan serangan lanjut AS.
Iran mengesahkan menerima surat itu tetapi belum mengumumkan sebarang maklum balas.
AS akan mengadakan pilihan raya pertengahan penggal pada Selasa yang boleh menentukan hala tuju peperangan itu, yang semakin tidak popular dalam kalangan pengundi Amerika susulan kenaikan harga tenaga akibat konflik berkenaan.
Pada Selasa lalu, Israel turut mengadakan pilihan raya parlimen, dengan pengundi berpeluang menyatakan pendirian terhadap Perdana Menteri berhaluan kanan, Benjamin Netanyahu.
Peperangan di Asia Barat bermula pada penghujung Februari menerusi serangan AS-Israel ke atas Iran yang mengorbankan pemimpin tertinggi negara itu, Ayatollah Ali Khamenei dan beberapa komander kanan tentera. – AFP











