KOTA BHARU: Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM6.628 juta bagi membaik pulih infrastruktur asas di 42 institusi pendidikan Islam di seluruh Kelantan pada tahun ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peruntukan itu merupakan tambahan kepada RM700,000 yang diluluskan sebelum ini bagi tujuh institusi pendidikan Islam pada 18 April 2026.
Katanya, kelulusan tambahan berkenaan mencerminkan komitmen kerajaan dalam memastikan kemudahan asas institusi pendidikan Islam di negeri ini terus diberi perhatian dan ditambah baik.
“Peruntukan itu menjadikan keseluruhan peruntukan bagi membaik pulih infrastruktur asas institusi pendidikan Islam di negeri itu pada tahun 2026 sebanyak RM7.32 juta membabitkan 48 institusi.
“Pada tahun 2025, saya sudah meluluskan RM9.36 juta bagi menaik taraf prasarana 23 institusi pendidikan Islam di Kelantan,” katanya semasa menyampaikan ucapan dan merasmikan Program Sebarkan Salam@Kota Bharu Berselawat 2026 di Masjid Jamek Muhammadi di sini sebentar tadi.
Hadir sama Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan.
Anwar turut memperuntukkan RM2.5 juta kepada beberapa masjid terpilih di Kelantan untuk dijadikan pusat dialisis.
Katanya, peruntukan itu dilakukan menerusi Projek Dialisis Yayasan Waqaf Malaysia dengan kerjasama Radicare.
“Kerajaan melalui Projek Dialisis Yayasan Waqaf Malaysia dengan kerjasama Radicare untuk memudahkan orang ramai menerima kemudahan dialisis.
“Ini kerana kemudahan dialisis jauh, jadi sekarang kita gunakan masjid sebagai pangkalannya dengan peruntukan sebanyak RM2.5 juta. Peruntukan ini membabitkan beberapa masjid terpilih di Kelantan,” ujarnya.
Anwar berkata, sebanyak RM645,000 peruntukan disalurkan untuk pelaksanaan wakaf air dan pemasangan solar di beberapa masjid di Kelantan.
Katanya, hal ini kerana terdapat masjid yang berdepan masalah bekalan air selain masalah elektrik.-UTUSAN











