LONDON: Lebih 12 pesawat Tentera Udara Amerika Syarikat (USAF) dilaporkan meninggalkan sebuah lagi pangkalan udara di Britain, beberapa minggu selepas Washington mengundurkan pesawat pengebomnya dari Pangkalan Udara Diraja (RAF) Fairford susulan insiden keselamatan yang dikaitkan dengan Iran.
Dua pesawat pengisi bahan api jenis Boeing KC-135 Stratotanker merupakan pesawat terbaharu yang berlepas dari Pangkalan Udara RAF Mildenhall di Suffolk pada petang Selasa.
Data penjejakan penerbangan menunjukkan sebuah pesawat dipercayai menuju ke Jerman, manakala sebuah lagi dikesan mendarat di Lapangan Terbang Prestwick berhampiran Glasgow.
The Wall Street Journal melaporkan, pergerakan pesawat sepanjang minggu ini dilakukan susulan ancaman terbaharu dari Iran. Bagaimanapun, BBC memaklumkan pihaknya belum dapat mengesahkan secara bebas dakwaan berkenaan.
Sementara itu, pejabat Perdana Menteri Britain memberi jaminan semua pangkalan udara negara itu berada dalam keadaan selamat, selain menegaskan aspek keselamatan menjadi keutamaan kerajaan.
Menerusi laman penjejakan penerbangan awam Flightradar24, BBC Verify mengesan 10 pesawat pengisi bahan api KC-135 milik USAF berlepas dari Pangkalan Udara Diraja (RAF) Mildenhall sepanjang Isnin.
Dua pesawat yang meninggalkan pangkalan itu pada Isnin pada awalnya menuju ke pangkalan tentera AS di Jerman dan Itali.
Pesawat KC-135 pertama terbang ke Pangkalan Udara Spangdahlem di barat daya Jerman sebelum melakukan beberapa penerbangan berpusing di ruang udara kawasan itu dan kembali ke arah Mildenhall.
Bagaimanapun, pesawat berkenaan tidak mendarat di Mildenhall, sebaliknya berpatah balik dan melakukan penerbangan menunggu di ruang udara Suffolk selama hampir sejam sebelum terbang ke arah timur dan akhirnya mendarat di Spangdahlem.
Sebuah lagi pesawat dikesan melakukan beberapa penerbangan berpusing di ruang udara sekitar Pangkalan Udara Aviano di timur laut Itali sebelum meneruskan penerbangan dan mendarat di Spangdahlem. Kedua-dua pesawat itu tidak dikesan kembali mendarat di Mildenhall.
Pada lewat hari sama, beberapa lagi pesawat KC-135 berlepas dari Mildenhall, dengan dua daripadanya menuju ke Spangdahlem, sebuah ke Pangkalan Udara Ramstein di Jerman dan empat lagi ke Pangkalan Udara Morón di selatan Sepanyol.
Selain itu, tiga pesawat jenis Osprey turut meninggalkan pangkalan udara RAF berkenaan. Sebuah pesawat milik Pengawal Kebangsaan Udara Nebraska, AS, pula menuju ke Lapangan Terbang Prestwick.
Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada pesawat itu melakukan persinggahan yang telah dirancang sebelum kembali ke pangkalannya di AS.











