PENYANDANG kerusi DUN Kelebang daripada Barisan Nasional (BN), Datuk Lim Ban Hong bertekad meneruskan pembangunan kawasan secara seimbang dengan keperluan masyarakat. Ini termasuklah memperkukuh infrastruktur dan membuka lebih banyak ruang ekonomi kepada golongan muda.
Kepada wartawan Utusan Malaysia, Hafiz Saidina, Ban Hong berkongsi perancangan, keutamaan dan tawarannya kepada penduduk pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.
UTUSAN: Persiapan dan keutamaan Datuk dalam mempertahankan kerusi ini?
BAN HONG: Antara perkara menjadi keutamaan saya adalah menyelesaikan isu sistem pengairan yang melibatkan keseluruhan kawasan pertanian di DUN Kelebang, khususnya kawasan sawah padi.
Pelaksanaannya dibuat secara berperingkat apabila kita telah membina rumah pam berskala besar pada penggal pertama saya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), diikuti penambahbaikan infrastruktur sokongan pada penggal kedua.
Bagaimanapun, kita mempunyai pelan induk Sistem Pengairan Bukit Rambai yang merangkumi keseluruhan kawasan sawah padi dan saya mahu memastikan perancangan itu dapat diteruskan sekiranya diberikan mandat.
Selain itu, isu rancangan tebatan banjir (RTB) juga perlu diberikan perhatian kerana kawasan ini sedang pesat membangun.
Perancangan seterusnya untuk Kelebang Walk sebagai destinasi pelancongan dan perniagaan?
Kelebang Walk merupakan idea yang saya bawa untuk menyediakan ruang perniagaan lebih tersusun kepada penjaja dan peniaga tempatan. Hari ini, kawasan itu menempatkan kira-kira 400 peniaga dan penjaja yang hampir keseluruhannya terdiri daripada masyarakat Melayu dan bumiputera, selain menjadi lokasi penganjuran bazar Ramadan setiap tahun.
Kami merancang untuk melaksanakan fasa kedua dengan menyediakan laluan pejalan kaki, laluan basikal serta meningkatkan aspek keceriaan dan kehijauan kawasan berkenaan.
Potensi sektor pelancongan Kelebang untuk terus memberi manfaat kepada penduduk?
Kelebang mempunyai potensi besar dalam sektor agropelancongan, ekopelancongan dan industri kreatif. Kawasan ini mempunyai antara kawasan sawah padi paling luas di Melaka selain tarikan berasaskan pertanian seperti dusun kelapa dan tanaman jambu batu.
Selain itu, terdapat pengusaha tempatan yang mengusahakan tanaman jambu batu Melaka Guava atau Jambu Batu Lohan. Saya fikir semua potensi ini perlu diberikan ruang supaya golongan muda yang mempunyai kemahiran dalam bidang seni dan kraf dapat muncul sebagai usahawan.
Pendekatan Datuk untuk memenuhi keperluan orang muda?
Saya melihat terdapat tiga perkara utama yang perlu diberikan perhatian iaitu peluang pekerjaan, pemilikan rumah serta pendidikan dan peningkatan kemahiran. Daripada segi peluang pekerjaan, saya mencadangkan pembangunan Bandar Baharu Kelebang menerusi manifesto kerana kawasan ini merupakan sebahagian daripada zon ekonomi khas yang mempunyai potensi menarik lebih banyak pelaburan.
Selain itu, terdapat satu lagi projek pelaburan yang telah dirasmikan oleh Ketua Menteri, melibatkan nilai pembangunan sebanyak RM1.8 bilion dan dijangka mewujudkan kira-kira 1,500 peluang pekerjaan.
Bagaimana Datuk meyakinkan pengundi supaya menilai berdasarkan perkhidmatan?
Bagi saya, setiap pilihan raya merupakan satu proses demokrasi dan mana-mana parti yang berdaftar mempunyai hak untuk bertanding. Bagaimanapun, perkara paling penting ialah rakyat akan membuat penilaian sebelum menentukan siapa yang layak dipilih sebagai wakil mereka.
Saya percaya pengundi akan melihat secara pragmatik kerana selepas 14 November, semua kempen akan berakhir dan kehidupan masyarakat kembali seperti biasa. Ketika itu, rakyat akan melihat siapa yang mempunyai rekod perkhidmatan baik, mampu menunaikan janji serta melaksanakan tanggungjawab dengan lebih cekap.










