MELAKA: Sebanyak 94.96 peratus atau 9,417 daripada 9,917 anggota pasukan keselamatan yang layak mengundi keluar menunaikan tanggungjawab pada hari pengundian awal Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 semalam.
Jumlah itu membabitkan 7,472 anggota tentera dan pasangan serta 2,445 anggota polis yang mengundi di 31 pusat mengundi di seluruh negeri.
Dalam pada itu, tinjauan Utusan Malaysia di Kem Terendak, Sungai Udang dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di Ayer Keroh pula mendapati proses pengundian berjalan lancar dalam keadaan cuaca cerah.
Seramai 9,769 anggota dan pegawai Tentera Darat (TDM) serta pasangan layak menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi awal sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 semalam.
Di Kem Terendak, anggota dan pegawai tentera darat dilihat mula berbaris untuk memasuki Sekolah Kebangsaan (SK) Kem Terendak 2 di Kem Terendak di sini seawal pukul 7.30 pagi meskipun pusat mengundi dibuka pada pukul 8 pagi.
Berdasarkan statistik pengundi mengikut pasukan, undi awal tentera dan pasangan tertumpu di empat Parlimen iaitu Masjid Tanah, Alor Gajah, Tangga Batu dan Hang Tuah Jaya.
Ia melibatkan empat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Lendu, Durian Tunggal, Sungai Udang dan Bukit Katil.
Sementara itu, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun berkata, beberapa pusat mengundi yang tidak mempunyai ramai pengundi ditutup lebih awal pada pukul 12 tengah hari manakala beberapa lagi ditutup secara berperingkat pada pukul 2 petang.
“Baki pusat mengundi pula ditutup pada pukul 5 petang,” katanya semasa sidang akhbar selepas melawat pusat mengundi awal di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kem Terendak, di sini.
Dalam perkembangan lain, Ramlan berkata, SPR sedang mendapatkan laporan penuh berhubung dakwaan serangan siber yang menyasarkan laman web rasminya ketika PRN Melaka berlangsung.
Beliau berkata, pihaknya masih belum menerima maklumat lengkap berhubung perkara itu dan kenyataan rasmi akan dikeluarkan dalam tempoh terdekat.
“Saya tak dapat laporan penuh lagi. Insya-Allah SPR akan mengeluarkan kenyataan rasmi dalam tempoh terdekat berhubung perkara itu. Kita sama-sama berdoa serangan siber ini tidak menyerang laman web SPR kerana ia amat penting dalam melaksanakan pilihan raya ini,” katanya.
Tambah beliau, SPR sudah menjalin kerjasama dengan pihak berkuasa berkaitan bagi memastikan keselamatan sistemnya terus terpelihara daripada sebarang cubaan pencerobohan.
“SPR bekerjasama dengan semua autoriti berkaitan untuk memastikan perkara itu tidak berlaku,” katanya. – UTUSAN










