MELAKA: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berpandangan adalah lebih baik Parlimen dibubarkan berbanding melaksanakan rombakan Kabinet ketika ini.
Ahmad Zahid berkata, beliau tidak melihat sebarang keperluan untuk mengadakan rombakan Kabinet buat masa ini.
“Saya tidak nampak adanya keperluan sekarang ini untuk mengadakan rombakan Kabinet.
“Walaupun ada seorang yang mungkin telah komited untuk meletakkan jawatan ketika sampainya Datuk Seri Najib ke rumah beliau bagi menjalani baki hukumannya.
“Sebaik-baiknya bukan rombakan Kabinet, sebaik-baiknya Parlimen dibubarkan.
“Itu kita berikan mandat semula kepada rakyat dan kita bentuklah kerajaan baharu selepas itu,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan bersama kakitangan Kemas Negeri Melaka 2026 di sini, hari ini.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan Kerajaan Perpaduan dijangka melakukan perubahan dalam barisan Kabinet dalam masa terdekat ekoran kemungkinan berlaku dua kekosongan.
Perkembangan itu membabitkan kedudukan Anthony Loke sebagai Menteri Pengangkutan yang mahu meletak jawatan susulan keputusan DAP menolak pengampunan bersyarat bagi membolehkan Najib Razak menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.
Selain itu, tempoh Amir Hamzah Azizan sebagai Ahli Dewan Negara berakhir Disember ini dan perkhidmatannya perlu disambung jika mahu beliau terus kekal berada dalam Kabinet.
Pagi tadi, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut memaklumkan bahawa masih terlalu awal untuk melihat atau membincangkan kemungkinan rombakan Kabinet ketika ini.
Malah, beliau juga m tidak mengetahui apa–apa berkenaan perkembangan dan perubahan yang melibatkan beberapa jawatan itu.-UTUSAN.








