MBSB Bank, Wise tawar pemindahan wang luar negara hingga RM150,000 sehari

MBSB Bank, Wise tawar pemindahan wang luar negara hingga RM150,000 sehari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: MBSB Bank Berhad (MBSB Bank) memperluas kerjasamanya dengan penyedia teknologi kewangan (fintech) global, Wise Platform menerusi pengenalan perkhidmatan Global Easy Transfer (GET).

Penyelesaian pemindahan wang antarabangsa berasaskan perbankan pertama di Malaysia yang dikuasakan oleh Wise itu membolehkan pelanggan membuat transaksi sehingga RM150,000 sehari merentasi 20 mata wang utama dunia.

Perkhidmatan yang diakses menerusi aplikasi M Journey MBSB Bank itu meliputi koridor pembayaran utama seperti Dolar Amerika Syarikat (AS$), Pound Sterling (GBP), Euro (EUR) dan Dirham Emiriah Arab Bersatu (AED).

Memuatkan artikel berkaitan…

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBSB Bank, Rafe Haneef berkata, pemindahan wang antarabangsa kini menjadi keperluan kewangan harian rakyat Malaysia bagi tujuan pendidikan, sokongan keluarga, pelaburan mahupun perniagaan.

“Pelanggan hari ini mahukan kejelasan status transaksi serta kawalan yang lebih baik tanpa menjejaskan aspek kelajuan, keselamatan dan ketelusan kos.

“GET direka untuk memenuhi keperluan tersebut dengan menjadikan pemindahan wang antarabangsa lebih mudah, lancar dan mudah diakses melalui platform perbankan yang dipercayai,” katanya dalam kenyataan. 

Sejak diperkenalkan, GET merekodkan 90 peratus transaksi pemindahan yang disempurnakan dalam tempoh kurang daripada satu minit, dengan lebih 90 peratus transaksi disumbangkan oleh pengguna berulang.

Sementara itu, Pengurus Besar Wise Platform bagi Asia Pasifik (APAC), Samarth Bansal berkata, kerjasama berkenaan membuktikan keupayaan integrasi teknologi pembayaran global bersama institusi perbankan tempatan.

“Menghantar wang ke luar negara seharusnya semudah, sepantas dan setelus transaksi harian. Dengan GET kini tersedia dalam 20 mata wang, kami teruja untuk memudahkan lagi urusan penghantaran wang ke luar negara bagi individu dan perniagaan,” katanya.

Peralihan ke arah pembayaran rentas sempadan digital itu turut disokong laporan Remittance Prices Worldwide oleh Bank Dunia yang mencatatkan kos purata kiriman wang digital pada suku ketiga 2025 adalah sebanyak 4.59 peratus berbanding 7.30 peratus bagi kaedah bukan digital.

Perkhidmatan GET kini boleh diakses secara terus oleh pelanggan sedia ada menerusi aplikasi perbankan digital M Journey. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini