Transaksi GET MBSB Bank meningkat 250 peratus tahun ini

Transaksi GET MBSB Bank meningkat 250 peratus tahun ini

MBSB Bank.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jumlah transaksi menerusi Global Easy Transfer (GET), penyelesaian kiriman wang antarabangsa MBSB Bank meningkat 250 peratus pada 2026 berbanding 2025, mencerminkan peningkatan penggunaan perkhidmatan pemindahan wang rentas sempadan secara digital.

MBSB Bank berkata, berdasarkan aktiviti harian purata, jumlah pengguna unik GET meningkat lebih dua kali ganda, manakala kadar transaksi berulang dalam kalangan pelanggannya melebihi 90 peratus sepanjang tahun lalu.

Katanya, perkembangan itu menunjukkan semakin ramai pelanggan menggunakan GET sebagai sebahagian daripada urusan pembayaran antarabangsa secara berkala.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pertumbuhan berterusan GET mencerminkan perubahan dalam keperluan pelanggan yang kini mahukan pemindahan wang antarabangsa yang lebih mudah, pantas dan telus.

“Pelanggan juga mahu mengetahui terlebih dahulu kos yang dikenakan, jumlah yang akan diterima penerima serta dapat menjejaki kedudukan wang mereka pada setiap peringkat transaksi,” katanya dalam satu kenyataan.

GET yang dibangunkan menerusi kerjasama dengan Wise Platform membolehkan pelanggan memindahkan sehingga RM150,000 sehari melalui aplikasi dan platform perbankan MJourney MBSB Bank.

Selain itu, pelanggan boleh mendapatkan kadar pertukaran asing yang kompetitif dengan kos didedahkan terlebih dahulu serta menjejaki transaksi secara masa nyata.

MBSB Bank baru-baru ini memperluas GET daripada 12 kepada 20 mata wang, termasuk menambah sokongan bagi destinasi seperti Vietnam, Kanada dan Emiriah Arab Bersatu.

Bank berkata, peluasan tersebut memberikan pelanggan lebih banyak pilihan untuk menguruskan pembayaran berkaitan pendidikan, sokongan keluarga, urusan perniagaan dan simpanan di luar negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBSB Berhad, Rafe Haneef berkata, perubahan dalam cara pelanggan menguruskan kewangan turut meningkatkan jangkaan terhadap perkhidmatan pemindahan wang antarabangsa.

“Apabila pelanggan semakin selesa menguruskan kewangan secara digital, jangkaan terhadap kepantasan, keterlihatan dan ketelusan turut berubah.

“Pertumbuhan berterusan GET mencerminkan perubahan itu dan mengukuhkan kepentingan untuk menjadikan pemindahan wang antarabangsa lebih mudah, jelas dan selesa untuk pelanggan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×