MBSB Bank salur RM29.6 juta, perkasa infrastruktur Sabah - Utusan Malaysia

MBSB Bank salur RM29.6 juta, perkasa infrastruktur Sabah

RAFE HANEEF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: MBSB Bank Berhad menyediakan kemudahan pembiayaan berjumlah RM29.6 juta kepada Bisajuta Sdn Bhd, kontraktor G7 yang berpangkalan di Sabah bagi menyokong pelaksanaan beberapa projek infrastruktur awam di seluruh negeri tersebut.

Empat projek yang terlibat merangkumi kerja-kerja naik taraf jambatan, tebatan banjir dan pembangunan infrastruktur pengairan yang memperkukuh ketersambungan, pengurusan air serta daya tahan komuniti, sekali gus memberi manfaat kepada masyarakat di Penampang, Kota Belud, Inanam, Beaufort dan Tenom.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Rafe Haneef berkata, bank itu menyokong pelaksanaan projek jambatan, pengairan dan tebatan banjir yang memberi manfaat kepada komuniti di Penampang, Kota Belud, Inanam, Beaufort dan Tenom melalui kemudahan pembiayaan tersebut.

“Dengan memperkukuh ketersambungan, meningkatkan pengurusan air serta menyokong aktiviti ekonomi, transaksi ini mencerminkan komitmen kami terhadap pembangunan jangka panjang Sabah,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, antara projek yang disokong ialah kerja menaik taraf Jambatan Sungai Moyog di Penampang yang kini telah siap dilaksanakan.

“Projek tersebut melibatkan pembinaan jambatan baharu jenis girder keluli sepanjang 90-meter yang menghubungkan Stesen Perikanan Babagon, Kampung Timpango dan Kampung Lotong, bagi menggantikan laluan sungai sedia ada.

“Jambatan yang dinaik taraf ini meningkatkan aksesibiliti penduduk setempat di samping memudahkan pergerakan hasil pertanian, bekalan perikanan serta barangan keperluan lain yang menyokong aktiviti ekonomi tempatan.

“Projek ini juga menyokong pembangunan berterusan Stesen Perikanan Babagon dan merupakan sebahagian daripada usaha yang lebih menyeluruh untuk mempertingkatkan infrastruktur di Lembangan Sungai Moyog,” ujarnya.

Beliau berkata, selain mengukuhkan jaringan pengangkutan, jambatan yang dinaik taraf ini turut menyumbang kepada pergerakan yang lebih lancar antara komuniti luar bandar dan pusat ekonomi, sekali gus memudahkan akses kepada perkhidmatan asas serta peluang perniagaan.

“Kemudahan pembiayaan tersebut turut menyokong beberapa projek infrastruktur yang sedang dilaksanakan di Sabah.

“Ini termasuk kerja naik taraf dan penambahbaikan Skim Pengairan Tempasuk Selatan di Kota Belud, pelaksanaan kerja-kerja tebatan banjir di bawah Program Rancangan Tebatan Banjir Sungai Padas, serta projek menaik taraf Jambatan Dasar di Jalan Kiansom Lama, Inanam,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×