PETALING JAYA:Indeks harga seunit pasir mencatatkan peningkatan pada Oktober 2026, dengan perubahan bulan ke bulan antara 0.3 peratus hingga 1.8 peratus di beberapa kawasan.
Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) berkata, peningkatan tertinggi dicatatkan di Sandakan (1.8 peratus), diikuti dengan Kuching (0.8 peratus) dan Johor (0.5 peratus).
“Indeks harga seunit simen mencatatkan peningkatan kecil pada Oktober 2026, iaitu antara 0.1 peratus sehingga 0.4 peratus berbanding bulan lepas.
“Peningkatan bagi bahan ini telah direkodkan di Perak (0.4 peratus), Terengganu & Kelantan dan Kuching (masing-masing 0.3 peratus).
“Selain itu, indeks harga seunit besi juga mencatatkan penurunan pada Oktober 2026, dengan perubahan bulan ke bulan antara negatif 0.2 peratus hingga negatif 10.5 peratus di beberapa kawasan.
“Penurunan dicatatkan di Perak (-10.5 peratus), diikuti dengan Terengganu & Kelantan (-3.6 peratus) dan Selangor, W.P. Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan (-1.3 peratus),” katanya dalam kenyataan.
Menurut DOSM, perbandingan tahunan untuk tempoh Oktober 2025 dan Oktober 2026 menunjukkan indeks harga seunit simen telah merekodkan peningkatan antara 0.6 peratus hingga 7.4 peratus bagi kebanyakan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.
“Peningkatan tertinggi bagi indeks harga seunit simen telah dicatatkan di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan (7.4 peratus), diikuti dengan Terengganu dan Kelantan dan Kuching (masing-masing 5.7 peratus).
“Perbandingan tahun ke tahun bagi indeks harga seunit besi telah mencatatkan penurunan antara negatif 0.6 peratus hingga negatif 8.2 peratus pada Oktober 2026 berbanding bulan yang sama tahun lalu, bagi seluruh kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak,” katanya.
Selain itu, DOSM berkata, penurunan tertinggi dicatatkan di Perak (-8.2 peratus), Terengganu dan Kelantan (-4.8 peratus) dan Miri (-4.0 peratus).
DOSM turut melaporkan purata harga simen Ordinary Portland kekal tidak berubah dengan purata harga RM25.80 per 50 kg sekarung.
Di samping itu, purata harga seunit besi yang terdiri daripada bar bulat keluli lembut dan Mycon 60 high tensile deformed bars mencatatkan penurunan (-3.0 peratus), dengan purata harga RM3,327.30 bagi setiap tan metrik berbanding bulan sebelumnya berbanding RM3,431.90 per tan metrik).
“Perbandingan bulanan IKB termasuk bar keluli mengikut kategori bangunan dan kawasan di Semenanjung Malaysia pada bulan Oktober 2026 mencatatkan penurunan antara negatif 0.1 peratus hingga negatif 3.8 peratus.
“IKB termasuk bar keluli di Sabah menunjukkan peningkatan kecil iaitu 0.1 peratus hingga 0.2 peratus bagi hampir semua kategori bangunan di kawasan Sandakan manakala Kota Kinabalu kekal tidak berubah pada tempoh yang sama.
“Selain daripada itu, perbandingan bulan ke bulan IKB termasuk bar keluli di Sarawak juga merekodkan penurunan kecil antara negatif 0.1 peratus hingga negatif 0.4 peratus bagi hampir semua kategori bangunan di Sibu sementara Kuching dan Miri mencatatkan sedikit peningkatan antara 0.1 peratus hingga 0.2 peratus,” katanya.-UTUSAN










