Agrobank perkasa perbankan digital dan pendidikan komuniti Orang Asli di Mersing

Agrobank perkasa perbankan digital dan pendidikan komuniti Orang Asli di Mersing

PENDUDUK Kampung Peta mendapatkan khidmat nasihat serta membuka akaun Agrobank sambil dibantu kakitangan bank berkenaan di Mersing, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Agrobank mendekati komuniti Orang Asli di Kampung Peta, Endau menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi memperluas akses keterangkuman kewangan, perlindungan takaful serta sokongan pendidikan.

Inisiatif berkenaan memberi manfaat kepada 370 penduduk daripada 126 keluarga masyarakat Orang Asli Jakun yang berdepan cabaran akses perbankan formal berikutan kedudukan perkampungan itu di kawasan pedalaman.

Bagi membantu menangani kekangan logistik, Agrobank menyediakan kemudahan pembukaan akaun secara terus tanpa memerlukan penduduk hadir ke cawangan, selain bimbingan pengurusan kewangan dan perbankan digital.

Memuatkan artikel berkaitan…

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, jarak tidak sepatutnya menjadi penghalang untuk masyarakat pedalaman mendapatkan perkhidmatan perbankan yang sah.

“Matlamat kami bukan sekadar memperkenalkan produk atau membuka akaun, tetapi membantu membina keyakinan masyarakat untuk mengurus kewangan, memanfaatkan kemudahan digital dan memahami kepentingan perlindungan kewangan.

“Inilah antara peranan yang perlu dimainkan oleh institusi kewangan pembangunan supaya lebih ramai masyarakat dapat mengambil bahagian dalam sistem kewangan formal,” katanya dalam kenyataan.

Agrobank turut menawarkan Pelan Perlindungan Kemalangan Diri Takaful Kasih Plus dengan nilai perlindungan keseluruhan RM1.34 juta merangkumi manfaat kematian akibat kemalangan, keilatan kekal, perbelanjaan perubatan dan hospital.

Sementara itu, Tok Batin Kampung Peta, Rampuyan Kantan menzahirkan penghargaan atas usaha Agrobank yang sanggup turun padang memberikan ceramah penabungan serta langkah kewaspadaan terhadap penipuan kewangan (scam).

“Pengurusan kewangan penting supaya kita belajar menabung sedikit demi sedikit. Kalau kami perlu pergi ke bandar, urusan seperti mendapatkan kad atau membuka akaun bank agak sukar berikutan faktor jarak,” ujarnya.

Program CSR tersebut turut menyalurkan sumbangan barangan keceriaan dan papan interaktif digital kepada Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Peta bagi memulihkan kemudahan pengajaran pasca-banjir besar 2023.

Dalam pada itu, Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid SK Kampung Peta, Abdul Kadir Ibrahim @ Yem berkata, peralatan digital baharu itu amat bermakna bagi membantu 126 murid sekolah berkenaan bersaing secara setara dengan pelajar di bandar. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini