PETALING JAYA: Semua pemain yang dipanggil menyertai Harimau Malaya kali ini memiliki kualiti dan kemampuan untuk memberikan sumbangan kepada pasukan negara menjelang aksi persahabatan antarabangsa menentang China dan Yaman.
Pandangan itu disuarakan penyerang Harimau Malaya, Safawi Rasid, yang percaya setiap pemain terpilih mempunyai kelebihan berdasarkan prestasi bersama kelab masing-masing, sekali gus mampu memberikan pilihan lebih baik kepada barisan kejurulatihan.
Menurut Safawi, beliau sendiri mahu membawa momentum positif yang dipamerkan bersama kelabnya, Kuching City FC, ke pentas antarabangsa bagi membantu Harimau Malaya menghadapi dua di persahabatan di Stadium Zhaoqing New District Sports Centre, Guangdong.
“Pertama sekali, saya mahu memberikan kredit kepada rakan sepasukan saya di Kuching City. Prestasi yang saya tunjukkan bersama kelab akan cuba dibawa ke peringkat kebangsaan, insya-Allah,” katanya.
Safawi turut menyifatkan dua aksi persahabatan di China itu sebagai peluang penting buat semua pemain untuk membuktikan kemampuan masing-masing, selain membina keserasian dalam pasukan.
Katanya, Harimau Malaya ketika ini memiliki barisan pemain yang baik dan berkualiti, justeru setiap pemain perlu bersedia memberikan komitmen terbaik bagi menghadapi cabaran yang menanti.
“Saya rasa semua pemain yang dipanggil adalah pemain berkualiti dan bermain dengan baik untuk pasukan masing-masing. Jadi, ini peluang untuk mereka buktikan di peringkat antarabangsa,” katanya.
Justeru, beliau berharap seluruh pemain dapat memberikan persembahan terbaik dan menterjemahkan prestasi di peringkat kelab ke pentas antarabangsa, sekali gus membantu Harimau Malaya mencipta keputusan positif sepanjang berada di China.
Ditanya kesediaannya menggantikan tempat Arif Aiman Hanapi, Safawi berkata, pemain sayap Johor Darul Ta’zim (JDT) itu mempunyai kelebihan tersendiri.
“Arif Aiman mungkin ada kelebihan dia. Maksudnya setiap pemain mempunyai kelebihan masing-masing. Ketiadaan Arif Aiman mungkin saya boleh bermain di bahagian sayap kanan, sebagai nombor 10, atau juga sayap kiri.Jadi bagi saya tiada masalah untuk beraksi di mana-mana posisi itu,” katanya.-UTUSAN











