PERKEMBANGAN teknologi kecerdasan buatan (AI) dan pemetaan digital menjadikan peranti pintar bukan sekadar alat perhubungan, malah sumber maklumat mengenai corak pergerakan manusia.
Di Malaysia, isu keselamatan siber dan kedaulatan data kembali mendapat perhatian susulan larangan penggunaan aplikasi navigasi Waze dalam kalangan penjawat awam serta galakan beralih kepada aplikasi tempatan seperti TuJu.
Langkah itu memperlihatkan kepentingan melindungi maklumat strategik negara dalam persekitaran digital yang semakin kompleks. Ancaman keselamatan hari ini bukan sahaja melibatkan pencerobohan fizikal, malah turut merangkumi pengumpulan dan penyalahgunaan data lokasi yang dikongsi melalui aplikasi harian.
Kebimbangan terhadap penggunaan Waze berkait rapat dengan keluasan data yang dikumpulkan menerusi aktiviti pengguna, termasuk lokasi, laluan perjalanan dan kelajuan kenderaan. Maklumat tersebut berpotensi digunakan untuk mengenal pasti corak pergerakan individu, khususnya pegawai keselamatan, anggota tentera, menteri dan pentadbir awam. Analisis sedemikian boleh mendedahkan rutin perjalanan serta lokasi strategik tanpa memerlukan pihak luar melakukan pengintipan secara fizikal.
Keadaan ini selari dengan tuntutan Islam supaya umat sentiasa berwaspada dan membuat persediaan menghadapi ancaman. Firman Allah SWT dalam Surah al-Nisa’, ayat 71, menyeru orang beriman supaya sentiasa bersiap siaga dan berhati-hati. Prinsip ini turut bertepatan dengan kaedah fiqh Sadd al-Dhara’i, iaitu menutup ruang yang boleh membawa kepada kemudaratan.
Dalam konteks kedaulatan negara, pemikiran Ibnu Khaldun menerusi karya Muqaddimah turut menekankan kepentingan kesepaduan sosial dan keupayaan pemerintahan melindungi wilayah daripada pengaruh luar. Pada masa kini, tanggungjawab tersebut turut merangkumi ruang siber, penyimpanan data dan perlindungan maklumat strategik negara.
Bagaimanapun, usaha memperkukuh kedaulatan digital tidak memadai dengan mengeluarkan larangan. Aplikasi tempatan seperti TuJu perlu dibangunkan sebagai alternatif yang benar-benar mampu memenuhi keperluan pengguna.
Aplikasi itu menawarkan kemudahan berasaskan maklumat rasmi pihak berkuasa, termasuk integrasi aduan MyJalan, maklumat kadar tol, paparan kamera litar tertutup (CCTV) dan bantuan kecemasan.
Namun, TuJu masih perlu memperbaiki beberapa aspek seperti kestabilan sistem, ketepatan navigasi, kelajuan carian lokasi dan keluasan liputan. Berbanding Waze yang mempunyai pangkalan pengguna besar serta maklumat trafik masa nyata, aplikasi tempatan masih perlu meningkatkan keupayaan teknikal bagi membina keyakinan masyarakat.
Sehubungan itu, kerajaan perlu memperkukuh dasar perlindungan data melalui penyimpanan maklumat geospatial strategik dalam pelayan tempatan yang dilindungi penyulitan. Dasar privasi juga perlu jelas, termasuk mengenai tempoh penyimpanan data dan penggunaan maklumat pengguna.
Audit keselamatan siber secara berkala penting bagi memastikan data tidak terdedah kepada penyalahgunaan atau pencerobohan.
Pada masa sama, pelaburan dalam pembangunan teknologi dan kepakaran algoritma perlu diteruskan bagi memperluas liputan TuJu ke jalan persekutuan, negeri dan bandar. Kerjasama kerajaan dengan sektor swasta serta maklum balas komuniti juga penting untuk meningkatkan ketepatan dan kemudahan penggunaan aplikasi tersebut.
Kesedaran masyarakat mengenai jejak digital turut perlu dipertingkatkan. Penjawat awam dan orang ramai harus memahami risiko berkongsi lokasi sensitif melalui aplikasi navigasi, jam pintar dan media sosial. Garis panduan penggunaan peranti yang jelas juga perlu disediakan, khususnya bagi sektor keselamatan dan kawasan pertahanan.
Usaha beralih kepada aplikasi tempatan bukan sekadar pertukaran perisian tetapi sebahagian daripada langkah melindungi kedaulatan digital negara. Kejayaannya bergantung pada keseimbangan antara keselamatan data, keupayaan teknologi dan keyakinan pengguna terhadap sistem yang dibangunkan. -UTUSAN
PENULIS ialah Pensyarah Kanan, Unit Pengajian Islam dan Falsafah, Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah, Universiti Utara Malaysia (UUM).











