PETALING JAYA: Pemain sayap Harimau Malaya, Safawi Rasid menegaskan tindakannya meninggalkan kem Harimau Malaya di China bukan dibuat secara suka-suka.
Bintang Kuching itu tampil memberi penjelasan di media sosial selepas terdapat segelintir pihak yang mempersoalkan keputusannya pulang ke tanah air ketika saat genting.
Harimau Malaya bakal berdepan pasukan ranking ke-96 dunia, China, hari ini dan keputusan itu memberi tamparan kepada skuad kebangsaan yang sebelum ini turut kehilangan tongga utama.
Safawi menegaskan keputusan berkenaan bukan dibuat secara sengaja, namun dia tidak menceritakan secara terperinci mengenai punca sebenar terpaksa meninggalkan kem skuad negara.
Pemain kelahiran Dungun, Terengganu itu juga menjelaskan dia sebelum ini tidak pernah menolak tawaran apabila dipanggil untuk mewakili skuad kebangsaan di pentas antarabangsa.
“Saya bukan saja-saja tinggalkan kem Malaysia, ada benda yang boleh cerita, ada benda yang tidak boleh cerita. Setakat ini saya tidak pernah lagi tolak tawaran pasukan Malaysia jika dipanggil sepanjang karier saya.
“Sarung baju (jersi Malaysia) hitam kuning adalah kebanggaan saya,” tulis Safawi.
Terdahulu, Safawi dilaporkan terpaksa meninggalkan kem Harimau Malaya selepas tiba di China, Selasa lalu untuk pulang ke tanah air atas urusan keluarga.
Situasi itu pasti memeningkan kepala pengendali interim Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe kerana Safawi menjadi antara pilihan utama di bahagian serangan selepas ketiadaan Arif Aiman Hanapi dan Faisal Halim (cedera).
Isnin lalu, iaitu sehari sebelum berlepas ke China, Cheng Hoe sudah menerima berita buruk apabila enam daripada tujuh pemain Selangor yang dipanggil terpaksa menarik diri atas alasan masalah kecederaan.
Pemain berkenaan ialah tonggak tengah Nooa Laine, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman, Ahmad Zikri Khalili, A Selvan, Syahir Bashah dan Harith Haiqal Adam Afkar.
Situasi itu memaksa Cheng Hoe memanggil lima pemain sebagai ganti iaitu Suhaimi Husin, Safwan Mazlan, Dominic Tan, Ariff Farhan Md Is, dan Syafiq Ahmad.
Sebelum itu, Cheng Hoe mengambil keputusan tidak menyenaraikan barisan bintang Johor Darul Ta’zim (JDT) termasuk Bergson Da Silva, Arif Aiman, Brad Tapp, Manuel Hidalgo, Stuart Wilkin dan La’Vere Corbin-Ong bagi memberi ruang kepada kelab itu mengharungi jadual pertandingan yang padat.
Selain China, skuad Harimau Malaya juga akan berdepan pasukan ranking 144 dunia, Yaman, Selasa ini dengan kedua-dua perlawanan itu akan berlangsung di Stadium Zhaoqing New District Sports Centre, Guangdong, China. – UTUSAN











