Pochettino bakal kemudi United sehingga 2029 

Pochettino bakal kemudi United hingga 2029 

MAURICIO Pochettino.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Manchester United mencapai persetujuan dengan Mauricio Pochettino untuk mengikat kontrak selama dua setengah tahun sehingga musim panas 2029 bagi menggantikan Michael Carrick yang dipecat kelmarin.

Menurut Sky Sports, pengendali skuad kebangsaan Amerika Syarikat (AS) itu dijangka diumumkan secara rasmi sebagai jurulatih baharu United selepas kedua-dua pihak mencapai persetujuan berhubung kontraknya.

Pochettino, 54, yang mempunyai klausa pelepasan bernilai 7 juta pound (kira-kira RM39 juta) dalam kontraknya bersama AS, dijangka memulakan tugas di Old Trafford selepas menamatkan komitmen antarabangsa bersama pasukan berkenaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bekas pengendali Tottenham Hotspur, Chelsea dan Paris Saint-Germain (PSG) itu dijadual membimbing Amerika Syarikat dalam dua perlawanan menentang Haiti pada Sabtu dan Rabu sebelum mengambil alih United.

Beliau dijangka mengharungi ujian getir pada penampilan sulungnya apabila United bertandang ke Anfield untuk menentang Liverpool dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) pada 22 November ini.

Pelantikan itu bakal menyaksikan Pochettino menjadi pengendali tetap kelapan United sejak persaraan Sir Alex Ferguson pada tahun 2013.

Pochettino sebelum ini pernah dipertimbangkan sebanyak tiga kali untuk mengisi jawatan pengendali United, namun kelab berkenaan akhirnya memilih untuk mendapatkan khidmatnya ketika pasukan sedang bergelut dalam zon penyingkiran EPL.

Sementara itu, United dalam kenyataan rasmi mengenai pemecatan Carrick kelmarin memaklumkan bahawa keputusan berkenaan dibuat selepas penelitian terhadap prestasi pasukan musim ini.

“Kami mencapai kesimpulan yang amat sukar bahawa perubahan perlu dilakukan bagi mencapai cita-cita kami,” menurut kenyataan kelab itu.

Carrick kehilangan jawatan kurang enam bulan selepas menandatangani kontrak baharu sehingga 2028 apabila United hanya mencatat satu kemenangan daripada 10 perlawanan liga musim ini.

Bekas pemain tengah England itu sebelum ini berjaya membawa United menamatkan saingan EPL di tangga ketiga musim lalu selepas meraih 12 kemenangan daripada 17 perlawanan, sekali gus melayakkan pasukan berkenaan kembali ke Liga Juara-Juara.

Bagaimanapun, prestasi United merosot dengan hanya mencatat tiga kemenangan daripada 15 perlawanan dalam semua pertandingan musim ini, termasuk satu kemenangan dalam 10 aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), sekali gus menyaksikan pasukan itu terperosok ke tangga ke-18 dengan lapan mata, menyebabkan pengurusan kelab mengambil keputusan menamatkan khidmatnya.

Keputusan memecat Carrick dimuktamadkan selepas Ketua Eksekutif United, Omar Berrada dan Pengarah Bola Sepak, Jason Wilcox mengemukakan cadangan kepada pemilik minoriti kelab, Sir Jim Ratcliffe dalam satu pertemuan di Monaco. 

Selain Carrick, beberapa anggota barisan kejurulatihannya termasuk Jonny Evans, Jonathan Woodgate dan Steve Holland turut meninggalkan kelab berkenaan. – AGENSI

 

MAURICIO POCHETTINO

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini