Melaka pilih siapa?

Melaka pilih siapa?

PETUGAS pilihan raya melakukan persiapan terakhir Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di Dewan Platinum, Politeknik Merlimau, Melaka, semalam.-UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AYER KEROH: Sebanyak 687,697 pengundi Melaka hari ini bertanggungjawab menentukan masa depan negeri itu, sama ada mengekalkan kerajaan sedia ada atau memilih kepimpinan baharu selepas dua minggu kempen pilihan raya. 

Daripada jumlah itu, separuh daripada 687,697 pengundi di Melaka terdiri daripada golo­ngan muda berusia 18 hingga 39 tahun dan meletakkan 325,047 undi kelompok itu antara faktor penting dalam menentukan parti yang bakal diberi mandat untuk menerajui pentadbiran negeri berkenaan. 

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Khairul Shahril Idrus berkata, sebalik keghairanan mengundi, semua pihak termasuk calon bertanding diingatkan untuk mematuhi peraturan pilihan raya termasuk tidak menggugat ketenteraman awam.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kata beliau, antaranya semua pengundi, calon dan petugas dilarang memakai pakaian dan sebarang tanda mempunyai gambar parti termasuk bahan kempen mengandungi slogan menjurus sokongan kepada mana-mana pihak.

“SPR juga menetapkan bahawa pengundi yang membawa telefon bimbit ke pusat mengundi perlu meletakkan di tempat telah disediakan setelah menerima kertas undi dan mengambilnya setelah selesai mengundi.

“Kegagalan pengundi mematuhi peraturan ditetapkan boleh menyebabkan mereka dilarang dari memasuki pusat mengundi oleh petugas pilihan raya,” katanya semalam.

SPR menetapkan 14 November sebagai hari pengundian untuk memberi peluang kepada para pengundi menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam memilih wakil rakyat untuk mengisi 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

PRN kali ini menyaksikan 79 calon daripada pelbagai parti serta calon Bebas bertanding bagi merebut 28 kerusi DUN selepas proses penamaan calon pada 31 Oktober lalu.

Pakatan Harapan (PH) meletakkan calon paling ramai iaitu di 24 kerusi, diikuti BN dengan 23 calon, Parti Bersama Malaysia (16), Bersatu (tujuh), Perikatan Nasional (lima), Parti Pribumi Perkasa Malaysia (satu) dan tiga calon Bebas.

Pada PRN Melaka ke-15 yang berlangsung pada 20 November 2021, BN memenangi 21 daripada 28 kerusi DUN, PH memperoleh lima kerusi dan PN dua kerusi.

Dalam pada itu, Khairul Shahril menasihatkan pengundi supaya keluar awal memandangkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) setakat ini menjangkakan berlaku ribut petir pada sebelah petang.

“Pengundi juga diingatkan untuk membawa kad pengenalan dan catatan maklumat pengundian. Dokumen ini akan memudahkan kerani pengundian membuat semakan nama pengundi serta membantu kelancaran proses pengundian,” katanya.

Sementara itu, Jurucakap Polis Diraja Malaysia (PDRM) Melaka, Superintenden Muhammad Zaki Ramat mengingatkan pengundi supaya sentiasa menghormati hak dan pilihan masing-masing ketika menunaikan tanggungjawab mengundi, meskipun mempunyai perbezaan ideologi serta sokongan politik.

Beliau berkata, perbezaan pandangan politik tidak seharusnya menjadi punca perbalahan sehingga mencetuskan permusuhan, provokasi atau tindakan yang boleh mengganggu ketenteraman awam sepanjang proses pengundian berlangsung.

Menurutnya, semua pihak perlu mengutamakan sikap saling menghormati dan mengamalkan kematangan dalam berpolitik bagi memastikan proses demokrasi berjalan lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini.

“Walaupun kita mempunyai perbezaan ideologi dan sokongan politik, ia tidak seharusnya dijadikan alasan untuk mencetuskan permusuhan, provokasi atau tindakan yang boleh mengganggu ketenteraman awam.

“Mengundi dengan bijak, jangan timbulkan apa-apa masalah dan hormati antara satu sama lain. Saya juga menyeru kepada calon dan penyokong parti supaya menerima keputusan pilihan raya dengan hati terbuka serta menjaga hubungan kekeluargaan dan persahabatan yang telah lama terjalin,” katanya.

Beliau justeru itu berharap semua calon, penyokong parti dan pengundi dapat menerima apa juga keputusan pilihan raya dengan semangat demokrasi.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini