Ramalan bukan penentu, pengundi segala-galanya

Ramalan bukan penentu, pengundi segala-galanya

MUHAMMAD KAMIL ABDUL MUNIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Ramalan badan penyelidik bukan penentu keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kerana kuasa sebenar untuk menentukan kerajaan negeri terletak di tangan pengundi.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, dapatan kajian beberapa badan penyelidik termasuk Ilham Centre, IDE dan Merdeka Center menunjukkan keputusan yang saling bercanggah, jadi ia tidak boleh dijadikan ukuran mutlak terhadap keputusan pilihan raya.

Menurutnya, apa yang lebih penting adalah keputusan rakyat yang akan diterjemahkan melalui peti undi esok.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Dalam konteks kita berhadapan dengan pilihan raya ini, akhirnya kuasa memilih itu terletak kepada rakyat ataupun pengundi di kawasan ini.

“Jangan sesekali memandang rendah kehendak dan kebijaksanaan rakyat,” katanya ketika ditemui selepas menyantuni pesawah di Klebang di sini hari ini.

Ilham Centre meramalkan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) berpotensi menguasai 24 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Ilham Centre turut merumuskan gelombang biru BN-PN semakin mendominasi persaingan PRN Melaka dengan kelebihan ketara berbanding PH.

Firma penyelidikan itu memaklumkan, tiga faktor utama yang mengukuhkan kedudukan gabungan itu ialah konsolidasi undi Melayu, moral jentera yang tinggi serta penerimaan terhadap pentadbiran kerajaan negeri.

Kamil berkata, kajian berkenaan dibuat berdasarkan sentimen semasa melalui pelbagai kaedah termasuk tinjauan bersemuka dan analisis sentimen di media sosial.

Bagaimanapun, beliau menegaskan PH akan terus mempergiatkan gerak kerja kempen sehingga saat akhir bagi mendapatkan sokongan pengundi.

“Dapatan mereka ini saling bercanggah antara satu dengan yang lain. Itu pandangan mereka.

“Tetapi dalam konteks PH, berbaki hari ini sebelum mengundi esok, kita akan pastikan gerak kerja dan strategi di lapangan dapat terus dijalankan,” katanya.

Ditanya mengenai peluang PH untuk memperoleh majoriti mudah 15 kerusi, beliau berkata, gabungan itu akan terus berusaha mendapatkan sokongan seramai mungkin pengundi.

Beliau turut menolak tanggapan bahawa PH hanya perlu berpuas hati dengan dua kerusi seperti yang disebut dalam ramalan berkenaan.

“Dia ramai ahli nujum ini. Tapi kita tak bolehlah kata setakat dua kerusi.

“Kita masuk pilihan raya objektifnya adalah untuk menang. Mana ada orang masuk bertanding pilihan raya untuk kalah.

“Jadi kita usaha sedaya upaya untuk memastikan kita dapat menggembleng sokongan seramai mungkin daripada pengundi di negeri Melaka ini dan insya-Allah keajaiban itu boleh berlaku,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini