Mereka pernah dihina dan dimaki sehingga basah muka dengan air liur orang yang marah.
Namun, semua itu dihadapi dengan sabar semata-mata hendak memberikan kesedaran mengenai kesihatan mental kepada orang ramai.
Itulah pengalaman berharga yang ditempuhi tiga Pengasas Thrive Well, Elisha Othman, Ivy Tan dan Joanna Ibrahim, ketika mula-mula menabur bakti bagi memberikan kesedaran mengenai kesihatan mental di Projek Perumahan Rakyat (PPR).
Thrive Well merupakan perusahaan sosial yang diperbadankan pada Oktober 2020 apabila Covid-19 menjejaskan kesihatan mental.
Misinya adalah memperluas perkhidmatan kesihatan mental yang peka terhadap trauma kepada individu, organisasi dan komuniti.
Lawatan ke PPR adalah salah satu perkhidmatan pembangunan komuniti yang dijalankan bagi program kesihatan mental untuk kanak-kanak, remaja dan ibu.
Selain itu, program berkenaan turut mewujudkan kumpulan sokongan rakan sebaya.
“Sebelum masuk ke komuniti, kami sudah menjangkakan kehadiran kami tidak akan disambut dengan tangan terbuka sebaliknya kami perlu bersedia dengan sebarang tindak balas daripada penduduk.
“Kalau nak masuk mesti kena ‘cantas’ dulu. Mereka akan tanya siapa kita.Jangan harap orang sambut kita.
“Mereka satu komuniti yang terpinggir, kita faham mereka sangat kecewa. Jadi tugas kami berdua, bila masuk ke komuniti kita kena tahu ini akan berlaku, “ kata Elisha kepada Seri.
Pengalaman Elisha dan Ivy berdepan komuniti berisiko tinggi di kejiranan Tenderloin, California, Amerika Syarikat banyak membantu mereka berdepan sebarang reaksi negatif apabila turun padang.
Selama sedekad di San Fransisco, Ivy pernah bekerja sebagai Ahli Terapi Keluarga selepas menamatkan pengajian peringkat ijazah dan sarjana dalam Perhubungan Antarabangsa.
“Saya buat sarjana dan bekerja di Pejabat Pusat Komuniti Remaja,Tenderloin District. Kawasan ini ramai gelandangan, pengedar dan penagih dadah, kes jenayah yang tinggi dan remaja berisiko tinggi.
“Pelancong pun tidak akan datang ke tempat itu. Awalnya, saya takut juga tapi pengurus saya, seorang bekas banduan di penjara San Quentin Prison. Selepas dibebaskan, dia mendapat keampunan gabenor California. Jadi, kalau turun padang, dia ada bersama saya,” katanya.
Kata Ivy, kebanyakan penduduk di situ adalah imigran dari China, Taiwan dan Indonesia yang mahu mencari kehidupan baru yang diimpikan di AS. Kebanyakannya bergantung kepada sokongan sosial dari kerajaan.
Masalah timbul apabila mereka tidak fasih berbahasa Inggeris malah tidak boleh bertutur dalam bahasa Inggeris.
“Anak-anak terkejut dengan perubahan sosial dan budaya di situ. Mereka tidak faham apa yang diajarkan guru. Jadi, mereka masuk ‘geng’ sebab tiada persamaan rakan sebaya. Ibu bapa pula sibuk bekerja sebagai tukang cuci atau tukang masak sehingga anak terbiar.
“Mereka yang terbabit jenayah akan dirujuk kepada terapi keluarga dipusat kami. Mereka curi kereta dan sebagainya. Jadi saya dengar luahan mereka,” katanya.
Kata Ivy, pengalamannya di sana diamalkan apabila pulang ke tanah air menggunakan program sama dijalankan di San Francisco.
Bagaimanapun, katanya, sistem sokongan kesihatan mental di Malaysia masih belum lengkap dan memerlukan penambahbaikan.
Sebagai perbandingan, di San Francisco, sekiranya berlaku sebarang insiden Ivy hanya perlu menghubungi pihak berkaitan sebelum pasukan intervensi digerakkan segera ke lokasi bagi memberikan bantuan.
“Apa yang kami buat di PPR, sama dengan apa yang Ivy buat ketika di San Francisco. PPR ada Persatuan Penduduk, Badan Pengurusan Bersama (JMB) dan ahli politik sebagai pemimpin penyampai maklumat yang perlu kami jumpa dulu sebelum masuk ke PPR.
“Tidak dinafikan ada pekerja sosial Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), tetapi tidak cukup. Jadi, perlu sokongan daripada organisasi Badan Bukan Kerajaan (NGO). JKM pula hanya ambil kes yang berisiko tinggi. Kes yang biasa-biasa di ambil oleh NGO,” katanya.

Kelompongan pembangunan sosial
Ellisha yang berpengalaman bekerja dalam sektor kewangan korporat terkemuka berkata, isu sosial dan kesihatan mental berlaku apabila pembangunan sosial dilupakan berbanding pembangunan ekonomi dan infrastruktur.
“Apabila kita bina infrastruktur fizikal, kita ada pembangunan ekonomi tetapi kita lupa pembangunan sosial. Sebagai contoh di Amerika, fokus sangat dengan pembangunan ekonomi sehingga ramai yang terpinggir.
“Inilah kesannya apabila Pembangunan ekonomi tidak seimbang dengan pembangunan sosial. Apa yang kita lihat hari ini di negara kita, adalah sama yang berlaku di negara seperti di negara Asia lain juga. Kes bunuh diri dan sebagainya seperti di Jepun, sudah lama berlaku, Sekarang ada populasi yang semakin menua. Walaupun nilai-nilai Asia masih ada tetapi tetap berlaku,” katanya.
Bagi mencegah atau memperlahankan gejala masalah sosial, kata Ellisha, kesihatan mental perlu dimulakan di tempat kerja dan sekolah kerana kedua-dua tempat ini paling lama bagi kanak-kanak dan remaja berada. Manakala bagi orang dewasa pula, perlu bermula dari tempat bekerja.
“Apabila kita bercakap mengenai kesedaran mental, tumpuan kami adalah mengenai sistem. Itu sebab bengkel kita kebanyakan di dua tempat ini iaitu sekolah dan tempat kerja. Ia bermula dengan kemahiran asas iaitu kesedaran kesihatan mental. Kalau tidak ada kemahiran ini, bila-bila masa kesihatan mental mereka boleh ‘meletup’.
“Kami menjalankan program kesedaran mental sebagai sokongan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kerana peranan KKM lebih kepada rawatan. Sebenarnya masalah mental boleh dicegah. Tujuan kami bukan hanya memberi perkhidmatan tetapi mewujudkan kesedaran dan pendidikan,” katanya.
Selain itu, satu lagi program kesedaran membabitkan kumpulan yang bekerja di sektor korporat.
Pihak syarikat menanggung kos program untuk kakitangan mereka mendapatkan perkhidmatan Thrive Well.
“Kita akan buat bengkel dan aktiviti yang mendekatkan mereka dengan program ini. Ini kerana sebelum datang bengkel dan masuk ke bilik terapi, kebanyakan mereka masih mempunyai stigma yang tinggi mengenai kesihatan mental.
“Kami juga ada satu produk yang di panggil ‘Can we talk’ membabitkan perbualan kerana stigma terbesar adalah untuk memulakan perbualan.
“Kami cuba buat supaya program ini tidak terlalu serius sebagai contoh, di Festival Riuh, kami adakan aktiviti melukis sambil berbual yang secara tidak langsung membolehkan peserta meluahkan perkara yang dipendam, “ katanya.
Komunikasi bantu kesihatan mental
Kata Ellisha, kemahiran berkomunikasi khususnya kepuayaan untuk berbual mengenai perkara yang sukar penting dalam menjaga kesihatan mental. Keupayaan menyampaikan sesuatu dengan baik dapat mengurangkan konflik sekaligus mewujudkan suasana harmoni.
“Contoh perbualan yang sukar seperti keputusan berbeza antara ibu bapa membabitkan anak boleh menimbulkan konflik. Kalau minta dengan bapa boleh dapat apa sahaja berbanding minta dengan ibu. Ini boleh mencetuskan konflik.
“Kalau boleh jawapan ibu bapa mesti sama dan konsisten. Nampak benda ini kecil tapi boleh beri kesan kepada anak dan menyebabkan jurang antara anak dan ibu bapa. Contoh lain, apabila suami atau bapa meninggal dunia secara tiba-tiba. Anak dan ibu tidak bercakap atau bertanya mengenai perasaan anak. Ini menjauhkan anak daripada ibu,” katanya.
Menurutnya, kebanyakan ibu bapa lazimnya hanya bertanyakan hal berkaitan pelajaran dan persekolahan sehingga perbualan terhenti setakat itu tanpa menyelami perasaan sebenar anak.
Dalam masa sama, anak-anak juga mungkin tidak tahu cara mendekati ibu bapa apabila lihat mereka bersedih. Ada yang memilih untuk memendam perasaan kerana tidak mahu menambah beban atau menyusahkan ibu bapa.
Jelasnya, corak komunikasi sedemikian perlu diperbetulkan kerana hubungan kekeluargaan bukan sekadar berkongsi perkara rutin, sebaliknya turut memerlukan ruang untuk setiap ahli keluarga meluahkan perasaan tanpa rasa takut atau terbeban.
Justeru, peranan Ivy sebagai pakar terapi kekeluargaan adalah untuk membimbing ibu bapa dan anak mempelajari cara berkomunikasi, meluahkan emosi serta mengamalkan pendekatan yang lebih sihat dalam kehidupan seharian di rumah.
Ujian penilaian IQ
Ellisha berkata, sebelum mendapatkan perkhidmatan psikologi, pelanggan perlu menjalani ujian penilaian IQ terlebih dahulu.
Ujian tersebut menggunakan peralatan ujian yang dicipta oleh penyelidik yang mempunyai statistik di seluruh dunia, mengikut umur dan gender.
Ujian berkenaan membantu mengenal pasti sama ada perkembangan kanak-kanak selari dengan peringkat umur mereka atau sebaliknya, sekali gus mengesan sebarang kelewatan perkembangan berdasarkan tahap pencapaian yang sepatutnya dikuasai mengikut usia.
“Antara contoh soalan yang ditanya kepada kanak-kanak, kenapa kena pakai tali pinggang keledar. Jika dia jawab sebab tidak kena saman, maknanya dia tidak faham konsep keselamatan.
“Budak yang bijak dan berbakat pun kena buat penilaian kerana mereka juga perlukan sokongan berkaitan cara berinteraksi. Kebiasaannya mereka juga cenderung dibuli kerana sering berada dalam dunia mereka sendiri,” katanya.-UTUSAN











