KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini semalam menetapkan 20 Januari bagi keputusan berkait bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man bagi 10 pertuduhan membuat tuntutan palsu dan menerima wang hasil aktiviti haram.
Hakim Azura Alwi menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan lisan kedua-dua belah pihak bagi menentukan sama ada Azlan, 67, dibebaskan atau diperintah membela diri di akhir pendakwaan kes.
Sekiranya pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie, Azlan akan dipanggil membela diri pada tarikh perbicaraan yang ditetapkan iaitu 10 dan 12 Februari, 26 Mac serta 16 dan 30 April ini.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Noralis Mat berhujah Azlan telah membuat lima kali tuntutan perjalanan ke luar negara sebagai Menteri Besar, namun hasil siasatan mendapati perjalanan tersebut tidak pernah berlaku.
Katanya, keterangan saksi pendakwaan ke-18 (SP18), Herwardy Hashim (bekas Setiausaha Sulit Kanan), beliau diminta memberikan nombor akaun bank Azlan kepada bekas Pengarah Urusan Sri Kedawang Travel & Tour (W) Sdn. Bhd. (SKTT), Shafiei Ismail (SP10).
Ia bagi pemindahan wang bayaran daripada kerajaan negeri ke akaun peribadi tertuduh atas alasan mahu membatalkan urusan agensi dan melakukan perjalanan itu sendiri.
“Sekiranya perjalanan dibatalkan, wang berkenaan sepatutnya dipulangkan kepada Kerajaan Negeri Perlis dan bukannya diserahkan kepada tertuduh,” katanya.
Bagaimanapun, peguam bela, Burhanudeen Abdul Wahid yang mewakili Azlan berkata, kerajaan negeri telah memperuntukkan dana tahunan kepada Menteri Besar bagi tujuan lawatan ke luar negara.
Katanya, pihak pembelaan turut mengemukakan rekod pasport dan imigresen bagi menyokong dakwaan perjalanan berkenaan berlaku.
“Isu ketidakpatuhan prosedur tuntutan bukan elemen utama pertuduhan yang dikenakan, sebaliknya pendakwaan perlu membuktikan perjalanan itu tidak dilakukan dan kerajaan negeri diperdaya.
“Pertuduhan ini bukan menyatakan tertuduh menyalahgunakan kuasa atau melanggar prosedur, sebaliknya dakwaan utama ialah beliau tidak melakukan perjalanan seperti yang dituntut,” katanya.
Pada 12 April 2023, Azlan didakwa atas lima pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM1.06 juta.
Tertuduh didakwa menerima wang di antara RM196,651 dan RM224,404.40 melalui empat keping cek dan secara tunai di beberapa buah bank di sini dan di Putrajaya serta di sebuah hotel di antara 2014 dan 2017.
Pada 10 April tahun sama, dia juga didakwa di Kangar atas lima pertuduhan membuat tuntutan palsu perjalanan ke luar negara berjumlah RM1.185 juta dari 2013 hingga 2017 ketika mentadbir Perlis.
Azlan didakwa mengemukakan tuntutan palsu membabitkan butiran matan dengan niat bagi mengelirukan kos tiket penerbangan, hotel penginapan dan pengangkutan ke London.
Tertuduh didakwa menuntut kemudahan cuti seberang laut yang layak diberikan kepadanya bagi tempoh bermula 2013 sehingga 2017 sedangkan tidak ada sebarang perjalanan tersebut oleh beliau. – UTUSAN











